Usul pemecatan terhadap presiden "sebahagian dari permainan politik" — Presiden Peru

05/12/2022


LIMA, 5 Dis. - Presiden Peru Pedro Castillo pada Ahad berkata bahawa usul mengenai pemecatannya yang diluluskan anggota Kongres "adalah sebahagian daripada percaturan politik", lapor Agensi Berita Xinhua.

 

Castillo membuat kenyataan berkenaan di wilayah utara Cajamarca.

 

Beliau berkata meskipun usul itu diluluskan, kerajaannya telah "ditubuhkan hasil pungutan suara rakyat" dan adalah perlu untuk "mempertahankan kehendak rakyat."

 

Kerajaan juga bersedia untuk terlibat dalam sesi dialog, bagi mendukung sistem demokrasi dan menghormati institusi, katanya.

 

Bagaimanapun, presiden itu belum mengesahkan sama ada beliau akan menghadiri sesi pleno berkenaan.

 

Peguam Castillo Benji Espinoza berkata pada Sabtu bahawa kehadiran presiden Peru pada sesi perbahasan itu belum disahkan tetapi alasan "ketidaklayakan moral secara kekal" yang digunakan untuk meluluskan usul pemecatan adalah "sangat terbuka dan abstrak."

 

Kongres Peru menyaksikan 73 undi menyokong, manakala 32 membantah bagi memulakan prosiding pemecatan terhadap presiden, dan undian akan berlangsung pada Rabu -©BERNAMA



Attachments