PKWE praktikkan senaman Tai Chi



Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman




 

TUTONG, Sabtu, 3 Februari. - Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong terus mengadakan aktiviti yang bermanfaat untuk ahli-ahlinya melalui program berunsur kesihatan secara mingguan dengan melancarkan Senaman Tai Chi yang akan diadakan setiap Sabtu bermula 8.00 pagi bertempat di kawasan lapang berhampiran Bangunan PKWE, Bukit Bendera, di sini.

 

Sehubungan itu, majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung.

 

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Cawangan Jabatan Pembangunan Masyarakat, Awang Jainuddin bin Haji Ahmad.

 

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dibacakan oleh Awang Haji Hamaffi bin Haji Md. Yassin dan diteruskan dengan penerangan ringkas mengenai Tai Chi oleh penunjukcara yang dijemput, Awang Zainal Abidin bin Tinggal yang kemudiannya menunjukkan sebahagian daripada 18 gerakan asas dalam Tai Chi Shibashi yang mudah diikuti dan dipelajari oleh Ahli-ahli PKWE.

 

Dalam temu bual bersama Pelita Brunei, Ketua Pengurus PKWE, Awang Haji Metamit bin Matzin mengalu-alukan warga-warga emas yang berdaftar mahupun yang belum berdaftar, untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti senaman mingguan tersebut untuk memulihkan tenaga selain untuk menjaga kesihatan masing-masing.

 

Menurut Awang Zainal Abidin pula, gerakan-gerakan dalam Tai Chi Shibashi, iaitu gerakan tangan sahaja, jika dilakukan dengan betul, perlahan serta lambat dan diatur dengan pernafasan akan lebih memberikan manfaat kepada tubuh badan kita, seperti antaranya mengurangkan masalah sesak nafas, sakit sendi, termasuk masalah dalaman seperti pencernaan dan hipertensi.

 

Oleh itu, tambahnya lagi, 18 gerakan tersebut seboleh-bolehnya hendaklah dilakukan dalam masa 45 minit keseluruhan.



Close