Masjid terima wakaf kereta jenazah



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani \ Foto : Masri Osman

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 31 Disember. - Koperasi Serbaguna Persatuan Buhur (KSPB) Kampung Jerudong Berhad dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Jerudong dan Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong mengadakan Majlis Penyerahan Wakaf berupa sebuah Kereta Jenazah dan Peralatan Sampingan bagi Pengurusan Jenazah berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penaung Takmir Masjid tersebut, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd. Jaafar bin Haji Abd. Aziz.

 

Pada majlis tersebut, penyerahan anak kunci disampaikan oleh Pengerusi KSPB, Awang Haji Arifpen bin Abas kepada tetamu kehormat yang kemudiannya menyerahkan kepada imam masjid berkenaan, iaitu Awang Haji Zamhari bin Haji Ibrahim.

 

Majlis kemudian diteruskan dengan menabur bunga rampai disertai dengan laungan tiga kali takbir dan selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

 

Juga hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Lt. Kolonel (B) Dato Paduka Haji Mohd. Samit bin Haji Abd Aziz dan Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Salleh bin Haji Hidup.

 

Wakaf kereta jenazah tersebut dihasrat dapat memudahkan urusan pengebumian jenazah di Kampung Jerudong dan sekitarnya.

 

Beberapa buah peralatan yang turut diwakafkan antaranya sebuah kem, sebuah generator 750 watt dan beberapa perkakas pertukangan seperti gergaji, tukul dan sebagainya.

 

Dengan penyerahan wakaf kereta jenazah tersebut, Masjid Al-Ameerah Al Hajah Maryam kini memiliki dua buah kereta Jenazah. Semoga wakaf amal khairat daripada para penyumbang mendapatkan ganjaran pahala dari Allah Subhanahu Wata'ala.



Close