Skim Miftaahun Najaah tingkatkan akademik pelajar



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid \ Foto : Ihsan Kementerian Pendidikan

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 30 Disember. - Seramai 13,043 pelajar menerima bantuan persekolahan Skim Miftaahun Najaah yang terdiri daripada 6,845 pelajar sekolah Rendah; 6,111 pelajar sekolah Menengah dan 87 pelajar peringkat Pra Universiti sesi pagi persekolahan 2018, yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Baharu Kementerian Pendidikan, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan bantuan berkenaan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya pengagihan bantuan persekolahan Skim Miftaahun Najaah Tahun 2018 kepada wakil-wakil dari 32 sekolah rendah.

 

Bantuan persekolahan yang dikenali sebagai Skim Miftaahun Najaah yang bermaksud 'Kunci Kejayaan' telah bermula sejak tahun 2011.

 

Antara tujuan utama bantuan persekolahan skim tersebut adalah untuk meringankan beban para ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan membeli keperluan persekolahan dengan harapan semua pelajar akan mendapat akses pada pendidikan, mengelakkan keciciran dalam pelajaran dan meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

 

Setiap sekolah kerajaan mempunyai Ahli Jawatankuasa Skim Miftaahun Najaah yang bertanggungjawab bagi mengagihkan bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti skim tersebut.

 

Bagi sesi persekolahan 2018 ini, pelajar-pelajar skim tersebut diberikan bantuan persekolahan berupa pakaian seragam, buku kerja dan pengecualian bayaran yuran.



Close