Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar Tokoh Kampung Kiarong sentiasa dikenang

26/06/2015

​Oleh : Norliah Md. Zain / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

 KNK IMAGE 2015

 

 

 

 

knkKAMPUNG Kiarong terletak di Mukim Gadong 'B' yang mempunyai keluasan 383.43 hektar dengan keramaian penduduk 5,556 orang. Kampung ini ditadbir oleh seorang Ketua Kampung, iaitu Awang Haji Omarsidi bin Haji Ahmad.

Kampung ini turut menerima beberapa kemudahan asas yang disediakan oleh pihak kerajaan seperti air, elektrik, telefon, jalan raya, sekolah dan sebagainya.

Antara institusi pendidikan yang terletak di dalam kampung ini ialah Sekolah Perdagangan, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Antara cerita menarik yang boleh dikongsikan mengenai kampung ini ialah mengenai seorang tokoh, iaitu Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar bin Jamaludin yang merupakan jasawan penduduk asli kampung tersebut. Malah nama sekolah rendah di kampung ini telah diambil sempena nama beliau, iaitu Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong.

PROFIL TOKOH

Merujuk galeri Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong, Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar bin Jamaludin dilahirkan pada tahun 1909 di Kampung Kiarong dan kembali ke rahmatullah pada 30 September 1976 ketika berusia 67 tahun. Beliau telah berkahwin dengan Pengiran Hajah Tengah binti Pengiran Butir dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Awang Nordin.

RENCANA 01 SABTU 27062015 Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar Tokoh Kampung Kiarong sentiasa dikenang

SUASANA Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kiarong, Brunei III.

Beliau mengikuti pengajian Sekolah Melayu sehingga Darjah 5.

Seawal usia 17 tahun, iaitu pada tahun 1926, beliau telah mula berkhidmat dengan kerajaan, iaitu sebagai anggota Polis Diraja. Dengan kewibawaan, pengalaman dan kepercayaan dari orang kampung, beliau telah dilantik menjadi Ketua Kampung Kiarong dan seterusnya diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan Penghulu Mukim Gadong yang pertama. Tidak hanya setakat itu, beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Adat Istiadat.

Beliau telah dianugerahkan gelaran 'Dato Ratna' (Menteri Darat) oleh Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien pada 9 Mac 1951. Setentunya lebih bermakna lagi, bilamana beliau telah dianugerahkan Pingat Perjuangan pada tahun 1963 dan Pingat Omar 'Ali Saifuddien pada tahun 1966. Kemudian pada tahun 1974, beliau telah dianugerahkan Pingat PSB, iaitu Darjah Setia Negara Yang Amat Berjasa Darjah Keempat.

 

 

JASA DAN SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

Setentunya Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar bukanlah calang-calang orang dalam kalangan penduduk Kampung Kiarong sehinggakan beliau diangkat sebagai seorang tokoh di kampung ini.

RENCANA 03 SABTU 27062015 Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar Tokoh Kampung Kiarong sentiasa dikenang

KETUA Kampung Kiarong, Awang Haji Omarsidi bin Haji Ahmad.

Dalam bidang pendidikan, Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar merupakan seseorang yang berfikiran jauh ke hadapan tentang kepentingan pendidikan penduduk kampung Kiarong. Ini terbukti bila mana beliau yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Kampung merupakan antara pengasas terhadap penubuhan sekolah sementara Kampung Kiarong.

Sekolah Rendah Kiarong yang sebelumnya dikenali sebagai Sekolah Melayu Kiarong ditubuhkan pada tahun 1964. Asalnya, sekolah ini dibina di tapak lama berhadapan dengan Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar pada masa ini.

RENCANA 02 SABTU 27062015 Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar Tokoh Kampung Kiarong sentiasa dikenang

KOMPLEKS Kiarong yang terdapat di Kampung Kiarong.

Sekolah yang dibina atas kerjasama Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar dengan penduduk kampung ketika itu, hanyalah beratapkan daun nipah, berdindingkan kulit kayu nipah (kajang) dan tidak berlantai. Perjuangan beliau tidak terhenti di situ malah beliau tanpa mengenal erti jemu terus sahaja berjuang untuk penubuhan sekolah kekal di Kampung Kiarong.

Sekitar tahun 1970-an, semasa pentadbiran Cikgu Jumaat bin Haji Tudin, sekolah ini telah diubah suai oleh Kementerian Pendidikan. Bangunannya diperbuat daripada kayu, berdindingkan papan, berlantaikan papan dan beratapkan zink serta bertiang kayu. Sekolah ini mempunyai sebuah bangunan yang merangkumi lima buah bilik darjah, iaitu dari Darjah Pra hingga Darjah 4 sahaja.

RENCANA 04 SABTU 27062015 Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar Tokoh Kampung Kiarong sentiasa dikenang

MAKTAB Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Memandangkan keramaian murid yang semakin bertambah, maka pada tahun 1984, bangunan kekal Sekolah Rendah Kiarong yang baru telah dibina di atas tanah berukuran 15 ekar yang terletak berhadapan dengan tapak sekolah yang lama.

Selain berjasa dalam bidang pendidikan, beliau juga mempunyai jasa-jasa yang lain. Antaranya beliau merupakan penasihat kepada anak buah kampung untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang melanggar undang-undang negara seperti pemberontakan, terlibat secara langsung dalam membuka (merantis) bagi Kampung Kiarong dan beliau juga antara orang yang awal melibatkan diri dalam aktiviti penanaman getang di Gadong Estate.

RENCANA 05 SABTU 27062015 Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar Tokoh Kampung Kiarong sentiasa dikenang

SEKOLAH Perdagangan.

Antara yang turut menjadi ingatan, semasa perang Jepun, beliau merupakan orang yang berani berjuang mempertahankan anak kampung Kiarong untuk tidak dibawa ke Labuan oleh tentera Jepun untuk dijadikan buruh paksaan.

Atas sumbangan dan jasa bakti yang ditabur oleh beliau sepanjang hayatnya, maka sesuailah beliau menjadi tokoh yang diingati di kampung ini dan seterusnya menjadi contoh ikutan bagi generasi yang akan datang. Semoga roh beliau dicucuri rahmat, Amin. Al Faatihah.


Attachments