Oleh : Noraisah Muhammed / Foto : Jabatan Penerangan

MUKIM
Tanjong Maya terletak kira-kira 12 Kilometer dari Pekan Tutong. Kampung
ini bersempadan dengan Kampung Lubok Pulau, Kampung Penapar dan Bukit
Udal, hampir keseluruhan penduduk kampung adalah terdiri daripada puak
Tutong.
Menurut
Penghulu Mukim Tanjong Maya Awang Haji Abdul Wahab bin Apong, sejarah
awal kampung tersebut bermula lebih kurang 300 tahun yang lalu apabila
beberapa buah keluarga dari puak Tutong yang tinggal di Kampung Lurah
Saban yang terletak di Sungai Tutong telah berpindah ke kampung tersebut
bagi meneroka kawasan-kawasan baru untuk bertanam padi.
Perpindahan
tersebut di ketuai oleh Bendahari Talip Bin Bendahara Tengah, iaitu
setelah terjadinyaperistiwa harimau jadian melarikan pengantin perempuan
yang merupakan isteri anak Bendahari Talip sendiri. Kejadian tersebut
telah mendorong keluarga Bendahari Talip Ali berpindah dari kampung
halamannya ke kawasan pendalaman sungai Tutong.

MASJID Kampung Lubok Pulau yang terletak di Mukim Tanjong Maya.
Di
samping itu juga mereka ingin meneroka tempat-tempat baru untuk
bercucuk tanam seperti bertanam padi dan berburu binatang. Perpindahan
mereka ke sana telah membuka lembaran baru dalam kehidupan puak Tutong
yang sebelum itu lebih tertumpu berkampung di atas air Sungai Tutong.
Keluarga Bendahari Talip Ali di percayai generasi terawal puak Tutong
yang meneroka kawasan pedalaman Sungai Tutong dan seterusnya berkampung
di sana.
Sebelum
mereka tiba ke Kampung Tanjong Maya mereka terlebih dahulu menetap di
dua tempat di sepanjang sungai menuju ke kampung tersebut, iaitu di
sebuah kawasan yang diberi nama Ngorbuat (Sungai Panjang) dan kemudian
berpindah lagi ke tempat yang bernama Nyumbung (Tanjong Panjang).
Di
sebabkan keinginan untuk meneroka kawasan-kawasan yang lebih sesuai
untuk dijadikan tempat tinggal mereka telah berpindah ke satu kawasan
yang diberi nama Pengkalan Ipa, suatu tempat yang sesuai untuk mereka
mengintip binatang buruan dan musuh. Sementara beberapa keluarga yang
lain terus menetap di dua tempat tersebut. Perpindahan kaum keluarga
Bendahara Talip Ali ke Pengkalan Ipa telah berjaya mewujudkan kehidupan
yang harmoni dengan puak Dusun yang menetap di kawasan-kawasan
berdekatan seperti Bukit Penulud, Bukit Nibong dan Meranti. Bendahari
Talip Ali sendiri telah berkahwin dengan seorang puak Dusun bernama
Yuntus (Afsah).

ANTARA produk Mukim Tanjong Maya
yang terkenal ialah Minyak Kelapa Dara.
Apabila
kehidupan di sana dirasakan sesuai untuk di jadikan tempat tinggal maka
mereka terus menetap di sana sehingga tempat tersebut akhirnya dikenali
sebagai Kampung Tanjong Maya. Pada awalnya mereka hanya membina sebuah
rumah yang berbentuk rumah panjang dan diberi berpetak-petak untuk
setiap kelamin dalam keluarga itu.
Kehidupan
secara berkumpul dalam sebuah rumah panjang ini merupakan cara hidup
awal orang-orang Tutong yang sudah wujud sejak mereka tinggal di Lurah
Saban. Bentuk rumah tersebut juga dirasakan lebih selamat bagi
menghindar dari ancaman ayau (pemburu kepala) yang berlaku pada waktu
itu.
ASAL USUL NAMA TANJONG MAYA
Kampung
Tanjong Maya mempunyai cerita yang menarik mengenai sejarah lahirnya
nama kampung tersebut. Sebelum itu kampung berkenaan hanya di kenali
sebagai Pengkalan Ipa dan bertukar menjadi Tanjong Maya setelah
terbinanya sebatang parit di kampung tersebut.
Pembinaan
parit itu adalah atas cadangan Bendahari Talip Ali yang menjadi ketua
kampung pada ketika itu untuk dijadikan jalan pintas di kampung
tersebut, kerana sungai yang sedia ada yang menjadi jalan utama
penduduk-penduduk kampung begitu panjang dan bersimpang siur.
Apabila
cadangan itu dipersetujui oleh penduduk kampung mereka bersepakat
membina parit tersebut secara bergotong-royong. Akhirnya mereka berjaya
membina sebatang parit sepanjang kira-kira lima rantai dan lebar
kira-kira enam kaki yang membentuk satu anak sungai.

DALAM KENANGAN... Keadaan banjir yang pernah melanda Sekolah Menengah
Tanjong Maya beberapa tahun yang lalu dapat ditangani dengan baik berkat kerjasama
dari beberapa agensi yang berkenaan serta para sukarelawan.
Dengan
terbinanya parit tersebut penduduk kampung dapat memendekkan masa
perjalanan tanpa perlu menggunakan jalan sungai yang sedia ada. Dalam
usaha penduduk kampung membina parit tersebut mereka telah membawa
orang-orang Dusun yang tinggal berhampiran untuk ikut serta, akan tetapi
mereka menolaknya.
Penolakan
mereka itu di nyatakan oleh puak Dusun dengan kata-kata 'inde ku maya'
yang bermaksud 'inda ku ikut'. Dari perkataan itu lahirlah nama kampung
tersebut yang awalnya diberi nama Kampong Inde Ku Maya.
Memandangkan
nama kampung 'Inde Ku Maya' tidak elok didengar mak Bendahari Talip Ali
mencadangkan agar nama tersebut diubah kepada Kampung Tanjong Maya.

PRODUK Mukim Tanjong Maya pernah dijual pada pameran sempena Hari Keluarga
bagi mukim tersebut yang berlangsung beberapa tahun yang lalu.
Antara
kampung-kampung yang terletak dalam Mukim Tanjong Maya ialah Kampung
Tanjong Maya; Kampung Banggunggos; Kampung Bukit Udal; Kampung Lubok
Pulau; Kampung Penapar; Kampung Sebakit dan Kampung Sungai Damit
Pemadang. Mukim Tanjong Maya merupakan salah satu dari 38 mukim yang
terdapat di Brunei. Dari segi pentadbiran, Mukim Tanjong Maya terletak
dalam Daerah Tutong.
Produk kelapa dara antara produk yang terkenal di mukim ini.
Sepertimana
di mukim-mukim lain di negara ini, mukim berkenaan tidak ketinggalan
untuk menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan
seperti bekalan elektrik, air, telefon, masjid dan sekolah.