Pelayaran santai beri ketenangan

29/12/2015

​Rencana dan Foto : Ak. Jefferi Pg. Durahman

MERASAI pengalaman menyusuri keindahan Sungai Brunei dengan pemandangan tumbuh-tumbuhan hutan bakau semakin terbayang saat memasuki kapal yang merupakan satu-satunya kapal persiaran di Negara Brunei Darussalam.

Apa yang membuat saya rasa amat bangga dan teruja sebelum memulakan pelayaran menyusuri Sungai Brunei apabila doa berkumandang memohon keredaan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, disusuli dengan penerangan mengenai keselamatan semasa berada di dalam kapal yang dimainkan di kaca TV kepada semua tetamu, ini sekali gus mengimbas diri saya selaku penulis rencana ini saat berada di pesawat Penerbangan Diraja Brunei sebelum memulakan penerbangannya.

Ini merupakan satu keistimewaan yang dimiliki oleh MV Sentosa yang begitu mengambil kira keselamatan para tetamu dengan mengutamakan doa sebelum memulakan perjalanannya.

281215 rencana001 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

KECERIAAN jelas terpancar pada para penumpang muda ini.

Meskipun kapal MV Sentosa tidaklah sebesar, segah dan semewah kapal-kapal persiaran di luar negara namun ternyata ia berhasil memberikan keseronokan dan kenangan manis kepada para tetamu yang megikuti persiaran ini, bahkan memberikan satu pengalaman baharu yang berharga kepada tetamu.

MV Sentosa merupakan kapal  persiaran dua tingkat yang dikendalikan oleh syarikat tempatan iaitu Syarikat Sha-Zan Marine Sdn Bhd, di bawah pengurusan Yang Dimuliakan Pehin Datu Paduka Raja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Shari bin Ahmad dan dilancarkan pada bulan November tahun lepas.

Dalam temu bual saya penulis Rencana Pelita Brunei bersama Pengurus Perhubungan Awam, Taufik Hidayat menjelaskan, Kapal MV Sentosa sedikit sebanyak telah berhasil membuka lembaran baru dalam industri pelancongan di Negara Brunei Darussalam bahkan semenjak ia dilancarkan sambutan daripada orang ramai amat membanggakan dan memberangsangkan sekali termasuk daripada para pelancong luar negara.

281215 rencana002 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

ANTARA pemandangan yang dapat disaksikan semasa menyelusuri Sungai Brunei.

Namun pada awal pelancaran MV Sentosa ini masih ramai orang yang tidak mengetahuinya kerana sebelum ini MV Sentosa dikenali sebagai 'Tanjung Bakarang' yang hanya digunakan bagi membawa para pembesar dan tetamu-tetamu negara menyusuri Sungai Brunei, tetapi setelah ia diambil alih oleh Sha-Zan Marine Sdn Bhd selepas setahun setengah proses membaik pulih dan menaikkan taraf kapal selesai ia kini dibukakan kepada orang ramai dan juga para pelancong yang ingin menikmati pelayaran menyusuri Sungai Brunei.

Taufik Hidayat juga menjelaskan, MV Sentosa merupakan kapal persiaran dua tingkat dan dilengkapi dengan penghawa dingin serta sofa dan permaidani yang selesa sekali gus menambah keselesaan para tetamunya berada di dalam kapal sepanjang menyusuri Sungai Brunei.

“MV Sentosa menawarkan perkhidmatan menyusuri Sungai Brunei dengan suasana dalam kapal yang luas, sepanjang perjalanan yang cukup aman dan agak perlahan bagi memberikan keselesaan dan keadaan selamat ketika sedang membuat perjalanan melawat Sungai Brunei dan menyaksikan pemandangan Kampung Ayer, para tetamu juga turut dijamu dengan minuman panas secara percuma selain terdapat beberapa makanan ringan yang dijual di dalam kapal bagi menambah keselesaan yang santai kepada setiap penumpang,” terang Taufik.

 

281215 rencana003 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

PENGURUS Perhubungan Awam, Taufik Hidayat (tengah) bersama kru MV Sentosa.

Menurut Taufik pula, kapal MV Sentosa mampu memuatkan sejumlah 60 penumpang dan turut memenuhi syarat keselamatan maritim antarabangsa serta dikendalikan oleh enam kru kapal terlatih.

281215 rencana004 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

KAPAL Persiaran MV Sentosa milik syarikat tempatan, Syarikat Sha-Zan Marine Sdn. Bhd. di bawah pengurusan Yang Dimuliakan
Pehin Datu Paduka Raja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Shari bin Ahmad.

Jelas Taufik pula, awal pekhidmatan MV Sentosa, mereka hanya menerima tempahan khusus pelanggan persendirian dengan kadar sewa BND1,350 untuk dua jam perjalanan tetapi ia kini dibukakan kepada pakej istimewa untuk orang awam dan ini juga memberi laluan serta peluang kepada orang ramai merasai pengalaman menyusuri Sungai Brunei, di samping menyaksikan keindahan deretan Kampung Ayer bahkan berpeluang juga melihat secara nyata kewujudan pulau bersejarah 'Jong Batu'.

281215 rencana005 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

BILIK istirahat kapal persiaran MV Sentosa.

“Apa yang istimewanya tentang perkhidmatan MV Sentosa, kapal ini turut memberikan perkhidmatan pelayaran pada waktu malam, bahkan ada juga yang mengadakan acara istimewa seperti majlis akad nikah dan sesi penggambaran pre-wedding di atas kapal MV Sentosa sepanjang pelayaran, dan yang paling mendapat sambutan di mana banyak orang ramai membuat tempahan khusus untuk mendapatkan perkhidmatan kapal menyusuri Sungai Brunei sambil merayakan hari ulang tahun dan semua ini akan dipersiapkan oleh kru-kru kapal mengikut kehendak penempah.”

281215 rencana006 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

SANTAI ... Menikmati suasana matahari terbenam yang mendamaikan.

“Selain itu, kami juga boleh menyediakan khidmat bufet dalam kapal mengikut perundingan dan pilihan pelanggan kami sementara pelanggan yang menempah seluruh kapal boleh menentukan jam waktu bertolak dari jeti dan juga mempunyai perkhidmatan katering mereka sendiri,” terang Taufik.

WAKTU PELAYARAN

Menurut Taufik lagi, MV Sentosa mula memperkenalkan perkhidmatan menyusuri Sungai Brunei selama dua jam bermula pada 9 Ogos 2015 kepada orang ramai baik berkumpulan mahupun bersendirian dengan bayaran yang cukup rendah iaitu BND29 bagi dewasa, manakala kanak-kanak dari dua hingga 12 tahun dikenakan sebanyak BND19.

Selain itu juga terdapat harga istimewa yang ditawarkan ujar Taufik lagi, di mana harga istimewa untuk sekumpulan yang mengandungi enam orang ialah sebanyak BND129 dan pakej keluarga pula yang memuatkan dua dewasa dan dua kanak-kanak dikenakan bayaran BND79.

281215 rencana009 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

KETERANGAN melalui televisyen mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu
diketahui oleh para penumpang MV Sentosa.

“Sepanjang pelayaran bermula dari Jeti Queen II, penumpang berpeluang melewati Muzium Brunei, Muzium Teknologi Brunei, Pusat Kraftangan dan Kesenian Brunei, Dermaga Diraja, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman, Jong Batu, persekitaran rumah Kampung Ayer, hutan-hutan bakau, ladang ikan bahkan jika bernasib baik kita juga berkesempatan melihat sejenis monyet hidung panjang dan juga pengalaman menyaksikan saat matahari terbenam dari sudut sungai yang begitu indah sekali gus menambahkan lagi suasana tenang juga romantik.”

281215 rencana007 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

JESLYN, 25, bersama rakan-rakan yang berasal dari Singapura.

281215 rencana008 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

 DUA beradik Mikyllah dan Mitch dari Filipina.

“MV Sentosa selain membawa para penumpang menikmati suasana keindahan Sungai Brunei juga pernah belayar hingga ke Temburong dan juga Labuan,” tambah Taufik.

Tambah Taufik lagi, selain orang ramai berkesempatan mengikuti perkhidmatan MV Sentosa, syarikat ini juga ada menyediakan dua buah bot yang juga disewakan kepada orang ramai untuk menggunakannya bagi aktiviti memancing di mana setiap satu bot ia mampu membawa seramai 10 orang penumpang dengan kadar bayaran sewa yang ditetapkan.

RANCANGAN MASA DEPAN

Sementara itu, Taufik juga menjelaskan perancangan pada masa akan datang Sha-Zan Marine Shd. Bhd. untuk memiliki sebuah lagi lokasi perhentian kapal selain tempat yang ada pada masa ini iaitu Jeti Queen Elizabeth II, berkemungkinan akan menambah perhentian MV Sentosa di Dermaga Diraja untuk memudahkan lagi orang ramai terutama para pelancong untuk mengikuti pelayaran MV Sentosa sekali gus mempromosi pelancongan negara.

Selain itu, ujar Taufik, syarikat ini juga bercita-cita untuk menambah lagi kapal yang sedia ada dan berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong dalam mempromosikan Kenali Negara Kitani.

Untuk menambahkan lagi kemudahan yang sedia ada untuk para tetamu MV Sentosa, menurut Taufik pula pihak MV Sentosa juga meminta pihak-pihak tertentu untuk memperbesarkan dan menambah lagi ruang letak kereta memandangkan petak letak kereta yang ada sekarang begitu terhad dan kecil alhamdulillah sejauh ini permohonan sudahpun dijalankan dan hanya menunggu kelulusan dari pihak berkenaan.

281215 rencana010 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

JONG Batu tinggalan sejarah yang dapat disaksikan para penumpang MV Sentosa.

Menambah perancangan akan datang yang difikirkan dapat membantu meningkatkan kualiti dan khidmat MV Sentosa, ujar Taufik, pihak mereka juga berhasrat untuk menambah lagi perkhidmatan mereka dari segi sajian dengan memperkenalkan beberapa jenis makanan ringan seperti kuih-muih tradisi negara ini.

“Pihak kami juga berhasrat untuk memperkenalkan beberapa produk makanan seperti kuih-muih sebagai hidangan kepada para penumpang MV Sentosa di mana para penumpang boleh membeli dan mencuba kuih-muih tradisi yang dihasilkan oleh beberapa kampung dan mukim pendek kata MV Sentosa selain memperkenalkan keindahan Sungai Brunei, Kampung Ayer dan beberapa tempat menarik ia juga berhasrat untuk memperkenalkan serta mempromosi sajian tradisi makanan Brunei terutama kepada para pelancong luar negara bahkan secara tidak langsung bagi mereka yang tidak mengenali beberapa jenis kuih-muih tradisi juga berpeluang melihat dan merasanya,” ungkap Taufik.

Ujar Taufik lagi ini secara tidak langsung dapat membantu mempertingkatkan ekonomi negara bahkan membantu memperkenalkan kepada orang ramai dan juga pelancong Satu Kampung Satu Produk negara ini.

281215 rencana011 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

MENYAKSIKAN matahari terbenam saat yang dinantikan para penumpang.

Sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Brunei, saya juga sempat mewawancara beberapa penumpang.

Jeslyn, 25, yang berasal dari Singapura saat ditemu bual menjelaskan sepanjang dua jam menyusuri Sungai Brunei ia memberikan satu kepuasan dan keseronokan apatah lagi ia menyajikan satu pemandangan yang hijau, keunikan rumah-rumah Kampung Ayer serta kewujudan Jong Batu yang mempunyai sejarah dan cerita di sebalik kewujudannya.

“Sepanjang dua jam menyusuri Sungai Brunei namun ia seperti tidak mencukupi, kerana kelihatannya negara ini masih banyak tempat yang boleh diterokai dan dikunjungi bahkan pelayaran ini akan lebih menyeronokkan lagi jika ia dapat berlabuh di beberapa buah tempat misalnya semasa merentasi Sungai Brunei saya ternampak Galeri Kampong Ayer dan beberapa gerai makan di kampung berkenaan bahkan dalam fikiran saya ia menjadi satu kepuasan lagi jika berkesempatan berlabuh sambil menyaksikan galeri muzium di Kampung Ayer tersebut dan berkesempatan menikmati makanan yang ada di sana,” ujar Jeslyn.

281215 rencana012 pelayaran sungai brunei Pelayaran santai beri ketenangan

KEINDAHAN Bandar Seri Begawan yang memukau penumpang.

Mikyllah dan Mitch dua beradik masing-masing berusia 11 dan 7 tahun ini pula berkata ini merupakan kali pertama mereka dan keluarga menaiki MV Sentosa ini dan ia amat mengasyikkan sekali tambahan lagi semasa cuti persekolahan, di samping menikmati udara segar kami juga berpeluang menyaksikan terbenamnya matahari yang begitu indah ternyata Brunei masih banyak menyimpan khazanah-khazanahnya yang tersendiri dengan hutan-hutan yang masih menghijau.

Mengakhiri pelayaran pada petang itu, saya amat teruja dan bangga dengan kewujudan dan khidmat yang diberikan oleh MV Sentosa di mana jelas kelihatan setiap penumpang sangat gembira dan berpuas hati dengan pelayaran selama dua jam tersebut dan ada juga yang berharap agar masa pelayaran tersebut ditambah lagi dengan menyusur lebih banyak tempat-tempat menarik di negara ini.

Mengikut pandangan saya selaku penulis, sebenarnya Jeti Queen Elizabeth II mempunyai potensi yang besar untuk dikembangmajukan, kerana ia bukan hanya sekadar perhentian untuk MV Sentosa membawa para penumpang dalam dan luar negara untuk memperkenalkan keindahan Sungai Brunei dan menyusuri beberapa tempat-tempat menarik sepanjang pelayaran yang mengambil masa dua jam tersebut bahkan jika tempat ini dikembangmajukan dengan memperbaiki tempat tersebut seperti menambah tempat letak kereta, membuat sebuah mini galeri yang menempatkan beberapa sejarah-sejarah mengenai mula asal wujudnya nama Jeti Queen berkenaan ditambah pula dengan beberapa restoran makan laut dengan kuih-muih tradisi negara dan juga tempat untuk beriadah sambil memancing ia pasti akan mampu mengangkat ekonomi negara melalui pelancongan.

Salah satu lagi yang mungkin dapat dibuat di tempat ini ialah kedai cenderamata yang menghasilkan produk-produk Satu Kampung Satu Produk bahkan MV Sentosa juga boleh melahirkan atau membuat hasil cenderamatanya sendiri seperti keychain yang berlambangkan kapal MV Sentosa atau T'Shirt.

Apa yang jelas sekarang dengan adanya Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ia akan mengangkat nama negara ini melalui pelancongan yang lebih menonjol kerana apa yang pasti tidak ada yang mustahil untuk kita laksanakan jika tidak dicuba dan tidak ada kegagalan pada awal ikhtiar yang dilakukan kerana kegagalan merupakan pada awal kejayaan sesuatu yang dilakukan.


Attachments