Oleh : Norliah Md. Zain / Foto : Jabatan Penerangan
TERLETAK
di Mukim Gadong A, ruangan ini akan menyingkap mengenai latarbelakang
dan kehidupan penduduk kampung bagi Rancangan Perumahan Negara (RPN)
Kampung Rimba Kawasan I. Kampung ini adalah di bawah pentadbiran seorang
Ketua Kampung, Awang Adanan bin Taha.
Menurut
Awang Adanan, kampung ini mula didiami kira-kira 21 tahun yang lalu
iaitu pada Julai 1994. Dari sumber yang beliau perolehi, kawasan kampung
ini pada mulanya adalah kawasan tempat berpadi dan menanam buah-buahan
seperti nenas bagi penduduk Kampung Tungku. Beliau difahamkan ketika itu
penduduk Kampung Tungku berjalan kaki sejauh lima ke enam kilometer
untuk menuju ke kawasan tersebut.
Ujarnya
lagi, Jalan 3 Kawasan I RPN Rimba merupakan tapak yang mula-mula sekali
dibentuk dari seluruh kawasan RPN Rimba pada masa ini.
Memandangkan
kampung ini merupakan perumahan bagi orang awam, selain bangsa Melayu,
kampung ini turut dihuni sebilangan masyarakat Cina.
Sebanyak
251 buah rumah yang terdapat di kawasan ini yang mana 45 buah rumah
daripadanya dihuni masyarakat cina manakala selebihnya adalah Melayu.
Secara keseluruhan kawasan ini dihuni oleh 2600 penduduk yang kebanyakannya bekerja dengan pihak kerajaan, di samping swasta.

KETUA Kampung Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba Kawasan I, Awang Adanan bin Taha.
Di
kampung ini, sejumlah 190 orang penerima pencen tua, 98 orang menerima
bantuan kebajikan, enam orang fakir miskin, 34 orang anak yatim dan enam
orang muallaf.
AKTIVITI
Setibanya
bulan puasa, kampung ini sangat aktif menganjurkan acara-acara
keagamaan iaitu bersedekah dengan mengagih-agihkan makanan yang
setentunya bagi meraih ganjaran yang berlipat ganda pada bulan yang
penuh keberkatan itu.
Buat
pertama kalinya, pada 10 Julai 2013, Majlis Perundingan Kampung (MPK)
RPN Rimba Kawasan I mengagihkan lebih 500 bungkusan Bubur Lambuk di
Gerai Ramadan, RPN Rimba.
Atas
kesepakatan para ahli MPK aktiviti seumpama itu kemudiannya dijadikan
sebagai aktiviti tahunan MPK tersebut di mana pada 29 Jun 2014 sebanyak
500 plastik Bubur Lambuk di tempat yang sama.
Kemudian
pada 18 Jun 2015, MPK Rimba Kawasan 1 telah mengagihkan lebih 300
bungkus mi goreng di Gerai Ramadan, RPN Kampung Rimba.

AKTIVITI pengagihan makanan Bubur Lambuk yang pernah dikendalikan oleh MPK RPN Rimba Kawasan I.
Kesemua
makanan-makanan tersebut disedekahkan kepada para pengunjung dan orang
ramai yang melalui jalan di kawasan gerai berkenaan.
Gerai
Ramadan itu mengalami penambahan petak saban tahun yang disertai oleh
kebanyakan para peniaga yang berjaja dari kawasan kampung tersebut.
Dengan itu, para penduduk kampung dapat menambah pendapatan terutama
golongan muda yang berkecimpung dan membantu keluarga. Dengannya, mereka
dapat menyemai sifat berdikari dan mandiri, di samping mengisi masa
terluang dengan perkara yang berfaedah.
Kampung
ini juga amat memeduli golongan yang memerlukan dengan mengadakan
majlis ibadah korban yang mana daging-daging ibadah korban diagihkan
kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan orang-orang yang
berhak menerimanya.
Ibadah
korban yang mula dianjurkan pada tahun 2008 itu merupakan hasil
kerjasama daripada penduduk kampung. Oleh itu, pada setiap tahun pihak
MPK membukakan penyertaan bagi mereka yang ingin menyertai ibadah
tersebut.

PENGAGIHAN daging ibadah korban kepada orang-orang yang berhak menerimanya.
Aktiviti
tahunan itu diadakan bagi mengeratkan tali silaturahim sesama MPK dan
penduduk kampung, di samping untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah
Subhanahu Wata'ala.
Selain
aktiviti keagamaan, penduduk kampung di sini juga aktif di dalam turut
serta dan bekerjasama dengan pertubuhan NGO, iaitu Persatuan Basmi Dadah
(BASMIDA). BASMIDA adalah sebuah pertubuhan antidadah di Negara Brunei
Darussalam, yang ditubuhkan pada bulan Mac 1987.
Penyertaan
penduduk kampung terutama para belia bersama BASMIDA menunjukkan
kepekaan mereka dalam melakukan aktiviti-aktiviti antidadah di seluruh
negara secara sukarela.
Semoga kemakmuran dan kehidupan yang penuh harmoni sentiasa berpanjangan di kampung ini.