MMN wadah permuafakatan

02/03/2016

​Ak. Jefferi Pg Durahman, Norliah binti Md. Zain / Foto: Jabatan Penerangan

020316 RENCANA MMN 02MAJLIS Mesyuarat Negara Brunei merupakan salah satu Majlis Mesyuarat di Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, berdasarkan sistem House of Commons United Kingdom. Majlis ini ditubuhkan menurut Bab 23 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 dan ahli-ahlinya dilantik menurut Bab 24.

Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN (Speaker) yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menurut Bab 37 dari Perlembagaan sama ada dipilih dari Ahli-Ahli Majlis atau mereka yang bukan Ahli-Ahli Majlis.


Fungsi utama MMN adalah untuk Merundingkan dan meluluskan undang-undang; Membuat pindaan kepada undang-undang yang sedia ada; Mengenakan sekatan-sekatan atau cukai kewangan; Meneliti dan menyemak polisi dan dasar Kerajaan Brunei; Meluluskan bajet Kerajaan Brunei dan Perkara lain yang berkaitan dengan perjalanan MMN Persidangan MMN diadakan setiap tahun pada bulan Mac bagi menimbang dan meluluskan Anggaran Hasil dan Belanjawan Tahunan bagi Kerajaan Brunei.


SEJARAH RINGKAS


Sejak 21 Oktober 1959 hingga 12 Februari 1984, MMN ini telah bersidang sebanyak 32 musim permesyuaratan. MMN yang pertama bersidang pada 21 Oktober 1959 bertempat di Lapau. Persidangan MMN yang terakhir ialah MMN Ke-21 (Belanjawan) iaitu sebelum Brunei mencapai kemerdekaan penuh bertempat di Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan. Tempoh keahlian MMN ialah selama lima tahun menurut Bab 55(2) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959.


MMN ini dibubarkan pada 13 Februari 1984 dan ditubuhkan semula pada 25 September 2004 berdasarkan aturan lama dan kemudian dibubarkan pada 1 September 2005. Ia ditubuhkan semula pada 2 September 2005 setelah pindaan baru Perlembagaan 1959 dimasyhurkan.


Pengurusan MMN dikendalikan oleh Jurutulisnya dalam membantu Yang Di-Pertua MMN mengendalikan persidangan dari sudut nasihat dan pandangan berkenaan dengan peraturanperaturan mesyuarat. Jurutulis dan Timbalan Jurutulis juga memainkan peranan yang sama untuk Ahli MMN. Pengendalian MMN dibantu sepenuhnya oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

020316 RENCANA MMN 01PERSIDANGAN Majlis Mesyuarat Negara akan berlangsung bermula 5 Mac 2016.

 Perkembangan-perkembangan di bidang pentadbiran dan perlembagaan semasa tempoh ahli-ahli dilantik sendiri banyak membantu dalam menjaga dan mengekalkan matlamat negara untuk kemakmuran dan memajukan kehidupan rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam. Dalam tempoh tersebut juga telah terbukti bahawa pengalaman demokrasi melalui pilihan raya tidak semestinya menjamin keutuhan dan kestabilan negara, malah dapatlah disimpulkan bahawa bidang perundangan itu sejak tahun 1970 iaitu setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dapat menyempurnakan tanggungjawab kerajaan dalam menuju ke arah satu tahap kestabilan politik dan sosial ekonomi yang sangat membanggakan.


Sejak MMN ditubuhkan semula pada tahun 2004, seramai tiga orang Yang Di-Pertua MMN telah dilantik.


Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Haji Mohd. Yassin menjadi Yang Di-Pertua pada September 2004 hingga Februari 2011.


Setelah itu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim dilantik menjadi Yang Di-Pertua pada 10 Februari 2011. Manakala bermula dari 11 Februari 2015 hingga kini, jawatan Yang Di-Pertua MMN disandang oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.


PROSEDUR DAN AMALAN PERUNDANGAN


Fungsi utama Majlis Mesyuarat Negara bertindak selaku penasihat kepada Kerajaan Brunei dengan meneliti dasar-dasar dan pelaksanaannya, seperti dalam menggubal undang-undang, meluluskan anggaran belanjawan dan hasil mahsul bagi setiap tahun dalam perancangan kemajuan negara, termasuk juga mengenai dengan ketetapan cukai.


Berlainan dari Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet, dalam MMN setiap ahli dibolehkan mengemukakan sebarang rang undang-undang atau mengesyorkan mana-mana usul supaya dibahaskan. Walau bagaimanapun, semua rang undang-undang yang akan dibahaskan ataupun diluluskan hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan dari Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet. Kecuali dalam perkara-perkara tertentu, setiap rang undang-undang yang hendak dikemukakan dalam MMN hendaklah terlebih dahulu disiarkan dalam Warta Kerajaan bagi pengetahuan umum sekurang-kurangnya 14 hari.


Begitu juga seseorang yang ingin mengemukakan soal jawab melalui lisan atau bertulis hendaklah menghantar soalan-soalan tersebut tujuh hari sebelum pertanyaan tersebut dikemukakan kepada Jurutulis MMN untuk dimasukkan dalam kertas kerja. Cara ini juga memudahkan pihak kerajaan untuk membuat persediaan. Sekiranya seseorang itu tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh kerajaan, dengan kebenaran Yang Di-Pertua Dewan (Speaker), dia dibolehkan untuk mengusulkan soalan tambahan yang ada kaitannya dengan soalan asal.


Ahli MMN adalah seperti berikut :


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ;


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri;


Menteri-Menteri Kabinet;


Orang-Orang Yang Bergelar;


Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan;


Wakil dari empat daerah di Negara Brunei Darussalam.


Adalah menjadi tanggungjawab bagi semua rakyat dan penduduk di negara ini untuk sama-sama memartabatkan dan mengangkat MMN sebagai platform yang sihat ke arah menyalurkan pendapat serta pandangan bagi menyumbang kepada kesinambungan kedaulatan negara bangsa di samping menjadi wadah kepada kesejahteraan negara.


Dalam hubungan ini juga setiap Ahli MMN bertanggungjawab dalam memartabatkan MMN ini sebagai institusi yang dihormati, selain sama-sama menangani segala perbincangan, buah fikiran dan tindak tanduk tersebut agar sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan kualitinya berasaskan sifat-sifat orang Brunei yang kaya dengan sopan santun, tolong-menolong dan tolak ansur kerana kualiti itu juga merupakan hubungan ahli-ahli majlis dengan orang ramai terhadap pemedulian terhadap rakyat dan penduduk.


Dengan adanya MMN ini ia diharap agar majlis tersebut akan membuat sesuatu perkara yang berkebajikan untuk mendekatkan Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan rakyatnya serta membawa kebajikan bersama, bukan untuk kepentingan diri sendiri kerana MMN diadakan bukan untuk menggugat kestabilan dan kesejahteraan negara dan bangsa, ia juga bukan untuk mewujudkan dan menimbulkan kacau-bilau di mana sebarang kesilapan mengandungi risiko yang lebih berat yang sangat susah dan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki.


Pada hakikatnya, apapun perubahan-perubahan yang dibawa dan dimaksudkan oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah bertujuan melindungi kepentingan rakyat baginda dan negara ini sejajar dengan hasrat untuk menyesuaikan kedudukan dan keadaan negara ini sebagai sebuah negara merdeka dan penuh berdaulat dalam menghadapi perubahan serta pergolakkan dunia yang berpunca daripada era alaf baharu.


Marilah kita renungkan titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-11 MMN 2015 pada hari Khamis, 14 Jamadilawal 1436 Hijrah bersamaan 5Mac 2015 Masihi.


''Kita adalah dikehendaki peka dengan situasi yang ada hari ini, khasnya dalam perkara ekonomi global yang sedang menunjukkan penurunan ketara, seperti harga minyak yang jauh merudum. Situasi ini sepatutnya akan menambahkan lagi keazaman kita untuk lebih memperkukuh aset-aset atau fundamental ekonomi negara.


Di antara usaha pengukuhan itu, termasuklah memperkasa sektor awam, dengan menjadikannya lebih berkesan dan berkualiti di dalam perkhidmatan untuk orang ramai. Demikian juga, ia sangat diperlukan untuk merangsang iklim perniagaan dan perekonomian yang lebih kondusif.


Dari aspek kewangan kita juga perlu mengekalkan dasar kestabilan fiskal atau 'fiscal stability', terutamanya dalam mempertimbangkan peruntukan kewangan dan perbelanjaan negara yang menitikberatkan perbelanjaan berhemah dan 'value for money'. Dengan amalan seperti ini, insyaaAllah, akan membolehkan negara menjimatkan perbelanjaan dan mampu untuk menabung lebihan pendapatan bagi menampung peruntukan-peruntukan di saat yang memerlukan.''


Attachments