Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Jabatan Penerangan
NEGARA Brunei Darussalam dan United Kingdom telah lama menjalin hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuklah bidang pertahanan, yang sememangnya telah terbukti memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Hubungan tersebut dirangka melalui Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama 1979 yang secara rasmi menyokong hubungan keselamatan di antara kedua-dua negara.
Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom juga telah menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan dan ketenteraan.
KERJASAMA PERTAHANAN
Dalam bidang pertahanan dan pentadbiran, kerajaan British akan terus membantu untuk meminjamkan kakitangan mengisi jawatan, mentadbir dan juga melatih pasukan-pasukan bersenjata. Kerajaan British juga akan sentiasa bekerjasama untuk membantu Brunei melengkapkan pasukan bersenjata dan pemeliharaan logistik.
Menerusi perjanjian ini juga, kerajaan British bersetuju untuk mengekalkan penempatan tentera Gurkha di Brunei dan menawarkan bantuan bagi latihan ketenteraan dan pegawai-pegawai tentera kepada Brunei.
PENEMPATAN TENTERA GURKHA DI NBD
Angkatan Tentera British di Brunei (BFB) yang berpengkalan di Seria adalah di bawah Nota Pertukaran digelar Perjanjian Garison yang diperbaharui pada setiap lima tahun.
The Royal Gurkha Rifles (RGR) merupakan rejimen infantri daripada Brigade of Gurkha mengandungi dua batalion, 1 RGR dan 2 RGR, yang bertugas di dua pangkalan meliputi di Shorncliffe, Kent, United Kingdom dan Negara Brunei Darussalam secara bergilir tiga tahun.
Batalion RGR merupakan unit yang unik dalam tentera dengan reputasi antara kalangan tentera yang terbaik dan paling digeruni di dunia di mana semua tentera Gurkha mendapat latihan di Nepal.
The Royal Gurkha Rifles, pada masa ini, Batalion Pertama The Royal Gurkha Rifles (1RGR) berkhidmat di Negara Brunei Darussalam, merupakan Tentera pakar peperangan hutan dan menjalankan tugas-tugas melibatkan pertahanan di Asia Tenggara.
Sementara itu, Batalion ke-2 The Royal Gurkha Rifles (2RGR) pula berpangkalan di Shorncliffe, Kent di mana tahun lalu mereka menyediakan sokongan bagi bencana banjir di UK dan keselamatan di Sukan Komanwel di Glasgow, dan merupakan Batalion siap sedia di United Kingdom.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB juga telah berkenan berangkat melawat ke Batalion Kedua, The Royal Gurkha Rifles (2RGR) Angkatan Tentera British yang berpangkalan di Tuker Lines pada bulan Jun 2013 bagi Majlis Perpisahan anggota batalion berkenaan yang akan menamatkan perkhidmatan bergilir selama tiga tahun di Negara Brunei Darussalam.
Ketika ini, seramai 30 anggota 'British Loan Service' dari tiga perkhidmatan berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). Anggota ABDB juga menjalani kursus-kursus di United Kingdom dan para anggota UK pula menjalani latihan bersama-sama ABDB di Negara Brunei Darussalam termasuk menghadiri kursus Maktab Turus Brunei.
SEJARAH PEMBENTUKAN GURKHA PERTAMA
Mengimbas kembali, sejarah pembentukan unit Gurkha pertama berlaku pada bulan April 1815 telah bermula pada tahun 1814; perang disebabkan oleh pertikaian sempadan dan serbuan sempadan ke utara India dari negara jiran di Nepal.
Semasa perang itu, kedua-dua belah pihak mengakui kualiti, kehormatan dan keberanian lawan masing-masing, dan bermula dari sana timbulnya kesalinghormatan di antara keduanya yang berakhir dengan hubungan yang kekal sehingga kini di antara Gurkha dan Britain.
Pada tahun ini, Gurkha mencapai 200 tahun usianya berkhidmat dengan Kerajaan British dan sempena memperingatinya, pelbagai acara besar-besaran sudah dan sedang disusun bagi memeriahkan sambutan tersebut.
IMBAS KEMBALI... Gambar-gambar atas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah
ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul KhairiWaddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan
dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ketika berangkat melawat ke Batalion Kedua, The Royal Gurkha Rifles
(2RGR) Angkatan Tentera British yang berpangkalan di Tuker Lines pada bulan Jun 2013.
Salah satu acara sempena memperingati sambutan tersebut ialah 'The Gurkha Pageant' yang akan berlangsung pada 9 Jun 2015 ini bertempat di Royal Hospital Chelsea, London bagi membantu Tabung Kebajikan Gurkha (Gurkha Welfare Trust).
Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth Ke-II serta His Royal Highness Prince Philip, Duke of Edinburgh dan ahli-ahli Kerabat Diraja Inggeris yang lain berangkat menghadiri majlis tersebut.