
ALHAMDULILLAH,
marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu
Wata'ala kerana dengan limpah dan rahmat-Nya jua, kita dapat sama-sama
hadir di Majlis Penutupan Kursus Amali (Praktikal) Ibadah Haji Seluruh
Negara Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi.
Terlebih
dahulu, saya dengan ikhlas mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih
kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kursus Amali (Praktikal)
Ibadah Haji, kerana sudi menjemput saya hadir selaku tetamu kehormat
majlis pada pagi ini.
Sebagaimana
yang kita maklum, ibadah haji adalah merupakan Rukun Islam Kelima, yang
wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang mampu dan berkuasa sahaja
untuk mengerjakannya. Perkara ini berdasarkan firman Allah Subhanahu
Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 97 :
Ertinya : ''… dan
Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah,
iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya…''
Dan berdasarkan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
Ertinya : '' ... Islam
itu ialah engkau mengakui naik saksi bahawasanya tiada Tuhan selain
Allah, dan Muhammad pesuruh Allah, engkau mendirikan sembahyang, engkau
mengeluarkan zakat, engkau berpuasa sepanjang bulan Ramadan dan engkau
mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu pergi kepadanya ...'' (Hadis riwayat Imam Muslim).
Di antara maksud berkemampuan itu
ialah perbelanjaan yang cukup untuk diri orang yang mengerjakan haji,
dan perbelanjaan itu juga mencukupi untuk orang yang di bawah
tanggungannya yang ditinggalkannya semasa pergi dan balik haji iaitu
orang yang wajib diberi nafkah. Jika perbelanjaan itu tidak mencukupi
bermakna belumlah wajib ke atas dirinya menunaikan ibadat haji.
Bagi
orang yang berpendapatan rendah atau orang yang kurang berkemampuan,
janganlah pula membebankan diri sendiri untuk berhutang bagi menunaikan
ibadah haji, kerana Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang
sudah benar-benar berkemampuan dalam makna bukan kemampuan yang
dipaksa-paksa. Ini dimaklumi kerana kos pakej perbelanjaan mengerjakan
ibadah haji telah meningkat dari semasa ke semasa berlaku di seluruh
dunia termasuk juga di negara kita. Itulah hikmahnya dan rahmatnya
ibadah haji tidak diwajibkan melainkan ke atas orang yang benar-benar
mampu, termasuk mampu di sini ialah mampu dari segi kewangan, selain
kesihatan, perjalanan yang selamat dan sebagainya.
Alhamdulillah,
saya difahamkan abiskita telah pun selesai menamatkan Kursus Ibadat
Haji secara teori selama 10 kali. Tentunya kursus ini serba sedikit
dapat memberikan abiskita gambaran dan panduan tentang bagaimana
cara-cara menunaikan ibadat haji dengan sempurna dan betul.
Apa
yang saya harapkan ialah abiskita akan sentiasa mengulang kaji
ilmu-ilmu tentang ibadah haji yang sudah abiskita pelajari itu,
khususnya dari segi apa yang disuruh, apa yang dilarang, apa yang
diharamkan, apa yang membatalkan, apa yang diharuskan, rukun-rukun haji,
wajib haji, sunat haji dan seumpamanya. Ingatlah bahawa kesempurnaan
ibadah haji itu banyak bergantung kepada ilmu pengetahuan yang abiskita
dapati dalam kursus haji itu. Ilmu pengetahuan itulah jaminan untuk
mencapai haji yang mabrur, suatu ganjaran yang paling bernilai di sisi
Allah Subhanahu Wata'ala iaitu syurga, seperti mana sabda Rasulullah
Alaihi Wasallam :
Ertinya : ''Haji mabrur itu tiadalah balasannya melainkan syurga.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Haji
mabrur itu ialah haji yang diterima Allah Subhanahu Wata'ala. Untuk
meraih haji mabrur, maka hendaklah menunaikan ibadah haji sesuai dengan
tuntutan syariat agama. Ini harus dimulai dari awal, iaitu sebelum lagi
berangkat ke Tanah Suci. Berniat haji hendaklah ikhlas semata-mata hanya
untuk mendapatkan keredaan Allah. Perbelanjaan yang digunakan, baik
untuk perjalanan diri sendiri mahupun untuk keluarga yang ditinggalkan
hendaklah dari hasil yang halal bukan dari hasil yang haram. Di samping
itu, ketika pelaksanaan ibadah haji semua syariat, rukun, perintah dan
larangan hendaklah benarbenar diperhatikan. Dan untuk menilai apakah
seorang yang menunaikan haji itu mendapat haji mabrur atau tidak,
kadang-kadang dapat dilihat dari tingkah lakunya bila balik dari
menunaikan ibadah haji, antaranya jika seseorang itu berubah dari sikap
buruk kepada sikap yang terpuji, sebagai tanda haji mabrur.
Alhamdulillah,
dalam pertemuan saya dengan Yang Berhormat Menteri Haji dan Wakaf,
Kerajaan Arab Saudi yang lalu telah menyatakan penghargaan rasa senang
mereka kepada jemaah haji dari Negara Brunei Darussalam yang penuh
disiplin, tiada menimbulkan sebarang masalah dan sentiasa patuh dengan
peraturan-peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Penghargaan ini sangat besar maknanya bagi Brunei Darussalam agar segala
urusan yang berkaitan dengan jemaah haji kita sentiasa mendapat
kemudahan dan layanan yang baik di masa-masa akan datang. Sebab itu
adalah menjadi tanggungjawab para jemaah haji untuk sentiasa menjaga
nama baik ini sepanjang berada di Tanah Suci nanti.
Pada musim haji tahun 1435 Hijrah / 2014 Masihi Kementerian Haji Arab Saudi mula memperkenalkan sistem pendaftaran online E-Hajj
yang mana segala pengurusan haji mestilah dibuat melalui sistem
tersebut dan hendaklah dibuat pada tempoh yang ditetapkan.
Untuk
pengetahuan bersama melalui system ini nama-nama bakal jemaah haji yang
telah membuat pembayaran pakej haji dihadapkan terus ke Kementerian
Haji Arab Saudi bagi urusan-urusan pengeluaran visa.
Oleh
itu, mana-mana bakal jemaah haji yang gagal melaksanakan pembayaran
dalam tempoh yang ditetapkan boleh menjejaskan proses pengeluaran visa
dan pemergian untuk menunaikan ibadat haji.
Untuk
makluman bakal jemaah haji bahawa sebelum ini pegawai-pegawai haji yang
dilantik oleh kerajaan adalah dikenali sebagai Bi'thah Haji Pentadbiran
dan Bi'thah Haji Perubatan. Walau bagaimanapun, mulai tahun 2013
Kementerian Haji Arab Saudi telah menukar nama Bi'thah Haji kepada
Pejabat Maktab Hal Ehwal Haji (Pentadbiran dan Perubatan).
Selaras
dengan ketetapan Kementerian Haji Arab Saudi, maka pada tahun ini
Pejabat Maktab Hal Ehwal Haji (Pentadbiran dan Perubatan) dan
klinik-klinik perubatan haji Negara Brunei Darussalam akan dibuat di
luar kawasan Markaziah Mekah (di luar kawasan Masjidil Haram) kerana
hotel-hotel penginapan di dalam Markaziah adalah dikhususkan untuk
tempat tinggal jemaah-jemaah haji, bukan seperti tahun-tahun sebelumnya
di mana Pejabat Maktab Hal Ehwal Haji dan klinikklinik perubatan dibuat
di dalam hotel penginapan bersama jemaah-jemaah haji.
Oleh
yang demikian, apa pun jua peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian
Haji Arab Saudi adalah wajar dipatuhi demi menjaga kepentingan,
kemaslahatan dan imej Negara Brunei Darussalam.
Dalam
pada itu, apabila berada di Tanah Suci, saya sukacita menasihatkan
supaya para jemaah haji akan mengambil kesempatan untuk berdoa di
tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa ke hadrat Allah Subhanahu
Wata'ala, selepas bagi diri sendiri ingatlah pula bagi raja kita dan
sekalian kerabat baginda, bagi negara kita dan segala isi di dalamnya,
serta bagi kaum Muslimin dan Muslimat di mana jua mereka berada agar
mereka dan kita semuanya dikurniakan Allah dengan keamanan, keharmonian
dan kemakmuran, serta terhindar dari segala bencana dan malapetaka,
persengketaan dan pertumpahan darah yang tiada bermakna.
Bagi
mengakhiri ucapan, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat
menunaikan ibadah haji kepada semua bakal jemaah haji pada tahun ini,
semoga diberi Allah kemudahan dan kesenangan ketika mengerjakan ibadah
dan mendapat haji mabrur. InsyaaAllah, Amiin.