MAKKAH, 4 Mei. - Muzium Al-Quran di Daerah Budaya Hira di Makkah menawarkan pengalaman budaya dan ilmu yang kaya, membolehkan pengunjung meneroka sejarah al-Quran dan ilmu-ilmunya, lapor Agensi Berita Arab Saudi.
Muzium itu mempamerkan manuskrip dan artifak jarang ditemui yang mendokumentasikan perjalanan penyalinan al-Quran sepanjang zaman, mencerminkan perhatian yang diberikan oleh umat Islam terhadap al-Quran sejak awal Islam hingga kini.
Antara pameran istimewa muzium itu ialah satu naskhah al-Quran yang diukir pada kepingan loyang yang bertarikh abad ke-12 Hijrah (abad ke-18 Masihi), memaparkan ketelitian dan kemahiran tinggi dalam kesenian Islam serta perhatian khusus yang diberikan terhadap penyalinan al-Quran, menggabungkan keindahan dan ketepatan ilmiah.
Karya seni itu melambangkan kesinambungan tradisi berakar umbi dalam seni khat dan hiasan Islam, dengan penggunaan pelbagai bahan dan teknik daripada kulit haiwan dan kertas hingga logam, sekali gus menonjolkan hubungan mendalam umat Islam dengan al-Quran serta komitmen mereka dalam memeliharanya melalui bentuk seni yang menggabungkan kreativiti dan penghormatan. - ©BERNAMA