ADB sedia 70 bilion USD untuk tingkatkan tenaga, ketersambungan digital

04/05/2026

SAMARKAND, 4 Mei. - Asian Development Bank (ADB) berkata pada Ahad bahawa ia akan memperuntukkan sehingga 70 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang 2035 kepada dua inisiatif untuk mengintegrasikan grid tenaga, memperluas perdagangan elektrik rentas sempadan dan memperkukuh akses jalur lebar di seluruh rantau Asia-Pasifik.


Presiden ADB, Masato Kanda melancarkan Inisiatif Grid Tenaga Pan-Asia dan Lebuhraya Digital Asia-Pasifik pada mesyuarat tahunan ke-59 bank itu di Samarkand, bandar kedua terbesar di Uzbekistan.


"Akses tenaga dan digital akan menentukan masa depan rantau ini," kata Kanda, sambil menambah bahawa dengan "menghubungkan grid tenaga dan rangkaian digital merentasi sempadan, kita dapat mengurangkan kos, meluaskan peluang, serta membawa bekalan tenaga dan akses digital yang boleh dipercayai kepada ratusan juta orang."


Menurut Kanda, Inisiatif Grid Tenaga Pan-Asia bertujuan untuk menghubungkan sistem kuasa nasional dan subrantau bagi membolehkan aliran tenaga boleh diperbaharui merentasi sempadan. Lebuhraya Digital Asia-Pasifik bertujuan untuk merapatkan jurang infrastruktur digital dan membantu rantau ini memanfaatkan pertumbuhan yang didorong oleh Kecerdasan Buatan (AI).


Di bawah Inisiatif Grid Tenaga Pan-Asia, ADB menyasarkan untuk menggerakkan 50 bilion dolar menjelang 2035 untuk infrastruktur kuasa rentas sempadan, dengan memberi tumpuan kepada talian penghantaran, pencawang, penyimpanan dan pendigitalan grid.


Di bawah Lebuhraya Digital Asia-Pasifik, ADB akan menggerakkan 20 bilion dolar untuk membiayai koridor digital, infrastruktur data dan ekonomi sedia AI.


ADB ialah sebuah bank pembangunan pelbagai hala terkemuka yang menyokong pertumbuhan inklusif, berdaya tahan dan mampan di seluruh Asia dan Pasifik. Ditubuhkan pada 1966, ia mempunyai 69 ahli, dengan 50 daripadanya rantau ini. -©XINHUA


Kapsyen : Logo Bank Pembangunan Asia (ADB) di ibu pejabatnya di Manila, ibu negara Republik Filipina.


Attachments