REPUBLIK SINGAPURA, 29 April. - Republik Singapura merancang membina tiga loji jana kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) baharu yang berkeupayaan menggunakan hidrogen bagi menjana elektrik dan memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
EMA pada Rabu melancarkan permintaan cadangan (RFP) bagi kapasiti penjanaan baharu yang dijangka mula beroperasi pada 2031 dan 2032.
Menurut EMA, langkah itu sebahagian daripada proses berpusat untuk membangunkan kapasiti penjanaan baharu bagi memenuhi pertumbuhan permintaan dan memastikan kebolehpercayaan sistem tenaga.
Di bawah RFP, sektor swasta akan membina, memiliki dan mengendalikan unit penjanaan CCGT sedia hidrogen, dengan satu unit dijangka siap pada 2031 manakala dua lagi pada 2032.
“Permintaan elektrik Singapura meningkat secara berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagiannya didorong oleh sektor perindustrian dan digital seperti semikonduktor dan pusat data.
“Sektor ini dijangka terus berkembang dalam beberapa dekad akan datang," menurut EMA dalam kenyataan pada Rabu.
Berdasarkan unjuran permintaan terbaharu EMA, permintaan puncak sistem tenaga Republik Singapura dijangka meningkat antara 2.4 peratus dan 4.8 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menjelang 2031, permintaan puncak diunjurkan mencecah antara 9.6 gigawatt (GW) dan 11.4 GW, menurut EMA.
“CCGT kekal penting bagi menyediakan bekalan elektrik yang mencukupi dan stabil untuk memenuhi permintaan, ketika Singapura meneruskan portfolio sumber tenaga lebih bersih yang pelbagai bagi jangka panjang," menurut EMA. – ©BERNAMA