Republik Indonesia perkukuh pendidikan, fokus naik taraf sekolah

29/04/2026

JAKARTA, 29 April. - Republik Indonesia akan membuat pelaburan besar dalam sektor pendidikan dengan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf kemudahan pembelajaran dan mempercepat baik pulih sekolah di seluruh negara, dengan sasaran menambah baik kira-kira 288,000 sekolah menjelang 2028.


Presiden Prabowo Subianto berkata kerajaan komited menjadikan pendidikan sebagai asas pembangunan negara, termasuk menambah baik prasarana pengajaran dan memperluas akses kepada pembelajaran berkualiti.


“Pendidikan ialah kunci kebangkitan negara kita. Saya akan memberikan perhatian penuh dan melabur secara besar-besaran dalam pendidikan demi masa depan negara. Setiap kanak-kanak Indonesia mesti diberikan pendidikan terbaik," katanya dalam satu program di Jawa Tengah, menurut Agensi Berita Antara pada Rabu.


Prabowo berkata kerajaan sudah mula mempergiat usaha itu dengan penambahbaikan dilaksanakan di 17,000 sekolah pada 2025, manakala 70,000 sekolah dijadual menjalani kerja baik pulih menjelang akhir tahun ini.


“Kami menyasarkan kira-kira 288,000 sekolah disiapkan menjelang 2028," kata beliau, sambil menambah kerja naik taraf seterusnya dirancang membabitkan 100,000 sekolah pada 2027 dan 2028.


Prabowo berkata selain penambahbaikan fizikal, kerajaan merancang melengkapkan bilik darjah dengan skrin digital atau papan pintar bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif.


“Ketika ini, setiap sekolah hanya mempunyai satu unit, manakala sebahagiannya mempunyai dua. Ini bermakna kita masih perlu menambah kira-kira tiga hingga empat unit lagi bagi setiap sekolah. Tahun ini, kami berusaha menambah tiga unit lagi di seluruh Indonesia," katanya.


Beliau menjelaskan inisiatif itu dijangka meningkatkan akses kepada sukatan pelajaran secara digital, sekali gus memudahkan guru dan pelajar mengulang kaji pelajaran.


Prabowo berkata kerajaan juga merancang menubuhkan studio pengajaran pusat di Jakarta bagi membolehkan pendidik terbaik, termasuk penutur asli, menyampaikan pengajaran secara jarak jauh.


“Kita akan mempunyai studio pusat di Jakarta dengan guru terbaik. Sebagai contoh, bagi bahasa Inggeris, kita akan membawa masuk penutur asli yang boleh mengajar semua orang yang memerlukannya.


“Begitu juga bagi bahasa Mandarin. Kita mahu murid sekolah mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan beberapa bahasa asing lain, bermula dari sekolah rendah," kata beliau. – ©BERNAMA

 


Attachments