HYDERABAD, 29 April. - Gangguan bekalan gas memasak yang dikaitkan dengan ketegangan di Asia Barat menjejaskan restoran di Hyderabad, memaksa premis makanan di “Ibu Kota Beriani" India itu mengurangkan menu dan memberi keutamaan kepada hidangan utama mereka.
Berikutan gangguan bekalan gas petroleum cecair (LPG) komersial, banyak restoran di bandar selatan India itu mengurangkan hidangan yang menggunakan banyak gas, sebaliknya memberi tumpuan kepada beriani yang kekal menjadi tarikan utama pelanggan.
Pelbagai jenis hidangan nasi berlauk daging yang kaya dengan rempah mudah didapati di seluruh bandar berkenaan. Sebuah aplikasi penghantaran makanan tahun lepas merekodkan 17.5 juta pesanan beriani di Hyderabad, berbanding kira-kira empat juta pesanan “dosa" dan 3.4 juta pesanan “idli".
Ketika bekalan LPG semakin terhad, kebanyakan restoran segera menyesuaikan operasi dengan mengurangkan hidangan berkuah dan menu lain yang memerlukan penggunaan gas untuk tempoh lama.
Tinjauan Bernama mendapati kakitangan restoran sering mengemukakan menu kepada pelanggan, namun segera memaklumkan bahawa pilihan hidangan adalah terhad, malah ada yang berkata, “Kami hanya ada beriani."
Beberapa premis yang kehabisan LPG pula beralih menggunakan kayu api atau arang sebagai alternatif. Pengusaha restoran berkata silinder LPG komersial dijual sehingga tiga kali ganda daripada harga biasa melalui pembekal tidak sah, selain berlaku kelewatan yang panjang untuk mendapatkan bekalan baharu.
Kekurangan LPG tidak banyak menjejaskan “idli", sejenis kuih beras kukus yang lembut, namun “dosa" lebih sukar disediakan kerana perlu dimasak di atas kuali leper dengan penggunaan gas yang tinggi. Import LPG India terganggu akibat sekatan perkapalan di Selat Hormuz ekoran perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb.
India bergantung kepada import bagi kira-kira 60 peratus penggunaan LPGnya, dengan kira-kira 90 peratus penghantaran melalui selat berkenaan. Kerajaan memberi keutamaan kepada pengguna isi rumah sambil meningkatkan pengeluaran domestik.
Menurut kenyataan Kementerian Petroleum pada Selasa, jumlah peruntukan LPG komersial meningkat kepada kira-kira 70 peratus berbanding paras sebelum krisis. Bekalan LPG terus terjejas akibat situasi geopolitik, menurut kementerian itu.
Walaupun keadaan itu menjejaskan sektor hotel dan restoran di seluruh India, kesannya lebih ketara di Hyderabad kerana budaya makan di bandar itu lebih rancak berbanding kebanyakan bandar besar lain.
Pilihan “pek keluarga" dan makanan bungkus yang ditawarkan restoran di Hyderabad juga sukar ditemui di kebanyakan tempat lain di India. Penduduk Hyderabad mempunyai selera besar untuk makan di luar dan sukar menerima keadaan apabila pilihan makanan harian mereka terhad. - ©BERNAMA