Wilayah di Pakistan lapor kes cacar monyet dalam kalangan bayi baru lahir

06/04/2026

ISLAMABAD, 6 April. - Pihak berkuasa kesihatan di wilayah Sindh, selatan Pakistan mengesahkan kes cacar monyet dalam kalangan bayi baru lahir di daerah Khairpur di barat laut wilayah itu, kata pegawai pada Sabtu, lapor Xinhua.


Jabatan Kesihatan Sindh memaklumkan pihaknya dimaklumkan pada 14 Mac lepas selepas beberapa kanak-kanak menunjukkan simptom kulit luar biasa. Ujian makmal kemudian mengesahkan jangkitan itu.


Menurut kenyataan itu, semakan pakar mendapati beberapa bayi baru lahir yang meninggal dunia bukan berpunca secara langsung daripada virus berkenaan kerana mereka dilahirkan pramatang dan sudah mengalami komplikasi kesihatan serius.


Pihak berkuasa turut menutup sementara unit rawatan rapi neonatal di sebuah hospital awam dan sebuah hospital swasta bagi mengenal pasti kemungkinan punca jangkitan serta kes indeks.


Pengesanan kontak masih dijalankan dan hospital diarahkan melaksanakan langkah kawalan jangkitan yang ketat. - ©BERNAMA


Attachments