LONDON, 6 April. - Saintis telah mengenal pasti apa yang mendorong perkembangan tisu parut dalam usus pesakit Crohn, lapor PA Media/dpa.
Saintis menemui kelompok sel imun dalam usus yang mungkin merangsang sel berdekatan untuk menghasilkan lebihan tisu parut dikenali sebagai fibrosis.
Diharapkan penemuan itu, yang diperincikan dalam kajian baharu, dapat membantu membangunkan rawatan untuk mencegah atau melambatkan perkembangan fibrosis iaitu komplikasi serius penyakit Crohn.
Crohn ialah keadaan keradangan jangka panjang yang menjejaskan saluran pencernaan dan boleh menyebabkan fibrosis, iaitu kolagen berlebihan terkumpul pada dinding usus.
Parut berkenaan boleh menyebabkan usus menjadi sempit dan tersumbat sekali gus memerlukan pembedahan dilakukan.
Pasukan penyelidik diketuai Universiti Edinburgh itu berharap penemuan terkini tersebut dapat membantu menentukan sasaran terapeutik untuk 'mengganggu' proses pembentukan parut dan membangunkan rawatan khusus menyasarkan fibrosis.
Shahida Din, pakar gastroenterologi di NHS Lothian dan pensyarah klinikal kanan kehormat di Universiti Edinburgh berkata : "Fibrosis kekal sebagai salah satu komplikasi penyakit Crohn yang paling mencabar kerana rawatan semasa lebih menyasarkan keradangan dan bukannya parut itu sendiri."
"Memahami laluan isyarat selular yang menghubungkan aktiviti imun dengan pengeluaran kolagen boleh membantu membangunkan terapi yang bertujuan untuk mencegah atau memperlahankan fibrosis."
Kajian itu diterbitkan dalam The Journal of Pathology. - ©BERNAMA