ISTANBUL, 5 April. - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Sabtu, dua saudara Jeneral Qassem Soleimani, komander Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, yang terbunuh dalam serangan udara AS pada Januari 2020, telah ditahan di California, lapor Anadolu Ajansi.
Hamideh Soleimani Afshar, anak saudara Soleimani, dan anak perempuannya, ditahan di Los Angeles selepas Setiausaha Negara Marco Rubio menamatkan status pemastautin tetap mereka yang sah atau Kad Hijau atas alasan mereka "menikmati gaya hidup mewah di Los Angeles yang dibuktikan menerusi hantaran pada akaun Instagramnya yang baru dipadamkan", menurut kenyataan agensi itu.
"Hamideh Soleimani Afshar dan anak perempuannya kini dalam tahanan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam AS. Seperti yang dikenal pasti oleh laporan akhbar dan ulasan media sosialnya sendiri, Soleimani Afshar ialah penyokong lantang rejim pengganas totalitarian di Iran," menurut kenyataan itu.
“Ketika tinggal di AS, dia mempromosikan propaganda rejim Iran, meraikan serangan terhadap tentera Amerika dan kemudahan ketenteraan di Timur Tengah, memuji Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, mengecam Amerika sebagai 'Syaitan Besar', dan menyuarakan sokongannya yang tidak berbelah bahagi terhadap Kor Pengawal Revolusi Islam," menurut kenyataan itu.
Menurut agensi berkenaan, Afshar, yang dijangka dihantar pulang (ke Republik Islam Iran), mempunyai suami di luar negara yang telah dihalang daripada memasuki AS.
"Pentadbiran Trump tidak akan membenarkan negara kita menjadi rumah bagi warga asing yang menyokong rejim pengganas anti-Amerika," menurut kenyataan itu.
Pada Mac, Rubio turut membatalkan visa anak perempuan bekas ketua keselamatan Republik Islam Iran Ali Larijani dan suaminya.
Larijani terbunuh dalam serangan udara Israel bulan lepas. - ©BERNAMA