LOS ANGELES, 6 Feb. - Pendedahan kronik kepada pencemaran zarah daripada asap kebakaran hutan dikaitkan dengan lebih 24,000 kematian setiap tahun di Amerika Syarikat (AS), menurut satu kajian yang diterbitkan pada Rabu, lapor Xinhua.
Kertas kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances meneliti kesan pendedahan jangka panjang kepada zarah halus PM2.5 - partikel udara berukuran sangat kecil (2.5 mikrometer atau lebih kecil) daripada asap kebakaran hutan - terhadap kadar kematian keseluruhan dan mengikut punca di seluruh AS dari 2006 hingga 2020.
Dalam tempoh itu, PM2.5 daripada asap kebakaran hutan menyumbang kepada anggaran 24,100 kematian setiap tahun, menurut kajian itu.
Penyelidik mendapati pendedahan kepada PM2.5 berkaitan kebakaran hutan dikaitkan dengan peningkatan kadar kematian bagi hampir semua punca yang dikaji, kecuali kematian akibat kemalangan pengangkutan atau terjatuh.
Mereka berkata dapatan itu mengetengahkan risiko kesihatan awam yang serius akibat pendedahan kronik kepada asap kebakaran hutan serta menggariskan keperluan mendesak untuk strategi mitigasi yang berkesan. - ©BERNAMA