Pakistan, Uzbekistan perkukuh hubungan ekonomi, dorong kesalinghubungan serantau

06/02/2026

NEW DELHI, 6 Feb. - Pakistan dan Uzbekistan mengesahkan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serta kesalinghubungan serantau, termasuk rancangan mempercepat pelaksanaan Projek Kereta Api Trans-Afghanistan yang menghubungkan Asia Tengah dengan pelabuhan Pakistan.


Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev mengadakan perbincangan pada Khamis yang memberi tumpuan kepada peluasan kerjasama ekonomi dan laluan perdagangan serantau, dengan menetapkan sasaran perdagangan dua hala tahunan sebanyak US$2 bilion.


“Kami mengadakan pusingan perbincangan yang mesra dan amat produktif, merangkumi keseluruhan spektrum hubungan dua hala, dengan penekanan khusus kepada perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan serantau, pendidikan serta pertukaran budaya," kata Shehbaz dalam hantaran di platform X.


Mirziyoyev tiba di Islamabad pada Khamis untuk lawatan negara selama dua hari.


Kedua-dua pihak menekankan keperluan mempercepat pelaksanaan Projek Kereta Api Trans-Afghanistan, yang akan menghubungkan Uzbekistan dengan pelabuhan Pakistan. Mereka turut mengalu-alukan pelancaran koridor pengangkutan baharu yang menghubungkan Pakistan, China, Kyrgyzstan dan Uzbekistan bagi meningkatkan perdagangan serantau.


Pakistan dan Uzbekistan turut menandatangani serta bertukar sebanyak 28 memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian.


Menurut kenyataan Uzbekistan, portfolio projek bernilai US$3.5 bilion meliputi sektor pertanian, kejuruteraan elektrik, geologi, farmaseutikal serta industri ringan dan makanan.


“Perhatian khusus diberikan kepada pembangunan kesalinghubungan pengangkutan dan logistik," menurut kenyataan itu.


Sementara itu, ibu negara Pakistan, Islamabad, akan membina sebuah taman baharu yang dinamakan sempena Zahiruddin Muhammad Babur, pengasas pemerintahan Mughal di Asia Selatan, sebagai langkah untuk memperdalam hubungan sejarah dan budaya dengan Uzbekistan.


Projek Taman Babur itu diumumkan pada satu majlis pada Khamis, yang turut menyaksikan sebatang jalan di Islamabad dinamakan sebagai “Tashkent" sebagai penghormatan kepada ibu negara Uzbekistan, sekali gus mencerminkan hubungan sejarah dan budaya yang erat antara kedua-dua negara.


Tashkent Street dan taman berkenaan akan menjadi “simbol nyata" komitmen bersama Pakistan dan Uzbekistan untuk mengukuhkan ikatan persahabatan, menurut kenyataan pejabat presiden Uzbekistan.


“Bagi pihak rakyat dan kerajaan Pakistan, saya mengucapkan terima kasih atas hadiah berharga berupa Taman Babur, Tashkent Street dan Ferghana Village," kata Shehbaz kepada Mirziyoyev. - ©BERNAMA



Attachments