Virus Nipah : Republik Indonesia perketat pemeriksaan di semua pintu masuk

05/02/2026

JAKARTA, 5 Feb. - Republik Indonesia memperketat pemeriksaan di semua pintu masuk negara dengan melaksanakan saringan kesihatan bagi mengawal penularan virus Nipah.


Menteri Kesihatan Republik Indonesia Budi Gunadi Sadikin berkata petugas kesihatan akan melakukan saringan di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan darat menggunakan reagen khas atau kit saringan ke atas semua individu yang masuk ke negara itu dan mempunyai simptom.

 

"Langkah ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun sehingga kini belum terdapat kes virus Nipah dilaporkan di Republik Indonesia," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.


Budi berkata pihaknya turut mengeluarkan surat edaran kepada semua agensi berkaitan di seluruh negara agar meningkatkan tahap kewaspadaan, khususnya dalam pengesanan awal kes bergejala seperti demam berpanjangan dan batuk selepas melakukan perjalanan ke kawasan yang mempunyai laporan kes virus Nipah.


Beliau juga menggesa individu yang mengalami simptom selepas pulang dari kawasan berisiko supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat bagi mengelakkan penularan lanjut. - ©BERNAMA




Attachments