BERLIN, 5 Feb. - Penerbangan tidak dapat berlepas dari Lapangan Terbang Berlin Brandenburg (BER) pada pagi Khamis berikutan keadaan berais, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Tiada pelepasan sedang dijalankan di BER buat masa ini disebabkan keadaan cuaca," kata seorang jurucakap wanita lapangan terbang, sambil menambah bahawa pesawat tidak dapat dinyahais kerana hujan yang membeku dengan pantas.
Gangguan itu hanya menjejaskan pelepasan, manakala penerbangan masuk masih boleh mendarat, kata jurucakap itu. Masih tidak jelas berapa lama penangguhan pelepasan akan berlanjutan.
Penumpang dijangka berdepan pembatalan penerbangan dan kelewatan yang ketara, serta dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing.
Perkhidmatan Cuaca Jerman (DWD) memberi amaran tentang risiko tinggi keadaan berais yang berbahaya di Berlin disebabkan hujan beku dan ais. - ©BERNAMA