Australia Barat : Cubaan serangan bom ke atas penunjuk perasaan diisytihar tindakan keganasan

05/02/2026

SYDNEY, 5 Feb. - Cubaan serangan bom ke atas sekumpulan penunjuk perasaan di ibu negeri Australia Barat (WA) pada Januari telah diisytiharkan sebagai satu tindakan keganasan, menurut pihak berkuasa pada Khamis, lapor Xinhua.


Ketua Menteri Australia Barat Roger Cook berkata polis menyifatkan percubaan untuk mengebom itu didorong ideologi perkauman dan kebencian selain memaklumkan bahawa suspek menjadi individu pertama dalam sejarah negeri itu yang berdepan pertuduhan berkaitan perbuatan keganasan.


Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan tidak lama selepas satu objek disyaki peranti bahan letupan buatan sendiri dilemparkan ke arah ribuan orang ramai yang berkumpul di pusat bandar Perth bagi menyertai protes yang diketuai pribumi Australia sempena Hari Australia pada 26 Januari lepas.


Beliau pada mulanya didakwa atas satu pertuduhan membuat atau memiliki bahan letupan dalam keadaan mencurigakan serta satu pertuduhan membahayakan nyawa, kesihatan dan keselamatan orang lain.


Cook pada Khamis berkata siasatan lanjut mendapati insiden itu wajar diklasifikasikan sebagai tindakan keganasan.


"Kita mesti mengecam sekeras-kerasnya insiden ini. Serangan ini didorong ideologi perkauman dan kebencian," katanya dalam satu sidang media.


Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan bahawa peranti berkenaan mengandungi galas bebola, skru dan cecair yang tidak diketahui di dalam bekas kaca, serta direka untuk meletup apabila terkena impak.


Cook berkata peranti itu berpotensi menyebabkan banyak korban jiwa sekiranya meletup. - ©BERNAMA




Attachments