REPUBLIK SINGAPURA, 5 Feb. - MAB Engineering Services, cabang kejuruteraan Malaysia Aviation Group (MAG) memeterai perkongsian selama lima tahun dengan Boeing bagi memperluas keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di seluruh rantau Asia Pasifik pada Pertunjukan Udara Singapura 2026 di sini.
Dalam satu kenyataan, MAG memaklumkan bahawa perkongsian itu membolehkan MAB Engineering berperanan sebagai rakan kongsi serantau bagi potensi kerja MRO pada masa hadapan dengan Boeing, selain menyediakan sokongan yang mempunyai keberkesanan kos, boleh dipercayai dan berkualiti tinggi kepada syarikat penerbangan, sejajar dengan permintaan yang terus meningkat terhadap perkhidmatan MRO komprehensif.
"Perjanjian ini membantu memperkukuh keupayaan untuk memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat terhadap penyelesaian MRO menyeluruh, di samping mengukuhkan kebolehpercayaan operasi untuk pelanggan syarikat penerbangan.
"Bagi MAB Engineering Services, ia menyediakan akses kepada rangkaian armada global Boeing, mengukuhkan pengaruhnya sebagai penyedia MRO serantau yang dipercayai serta memantapkan kedudukan jangka panjangnya dalam ekosistem penerbangan Asia Pasifik," menurut kenyataan itu.
Menurut MAG, kerjasama berkenaan meletakkan MAB Engineering Services di barisan hadapan dalam penyampaian penyelesaian MRO yang inovatif, boleh dipercayai dan cekap.
"Dengan memanfaatkan kepakaran Boeing serta rekod prestasi MAB Engineering yang terbukti, syarikat itu menyasarkan untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada syarikat penerbangan, memperkukuh ekosistem penerbangan serantau dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam penerbangan global," tambahnya. - ©BERNAMA