BERLIN/NEW YORK, 5 Feb. - Keadaan kehidupan pendatang dan keturunan mereka di Republik Persekutuan Jerman semakin merosot, menurut badan pemantau hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Peningkatan dasar migrasi dan suaka yang bersifat regresif, jenayah kebencian dan ucapan kebencian, serta sekatan terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun menimbulkan kebimbangan serius," menurut HRW dalam laporannya mengenai Republik Persekutuan Jerman.
“Retorik politik parti AfD semakin diterima pakai oleh parti demokratik," kata Almaz Teffera, penyelidik HRW mengenai isu perkauman, ketika pembentangan laporan tahunan terbaharu organisasi itu di Berlin.
Beliau merujuk kepada parti sayap kanan Alternative for Germany (AfD), yang platform utamanya menyeru kepada undang-undang imigresen yang lebih ketat.
Teffera berkata adalah sesuatu yang memudaratkan apabila individu berlatarbelakangkan migrasi terlebih dahulu dilabel sebagai satu masalah, namun kemudian ditegaskan yang “pendatang yang baik dan bekerja keras di sini" kononnya tidak termasuk dalam kategori itu.
Mengenai dasar luar pula, Pengarah HRW Jerman Philipp Frisch berkata kedua-dua kerajaan gabungan terdahulu berhaluan tengah-kiri dan kerajaan semasa berhaluan tengah-kanan mensia-siakan “kredit" moral di peringkat antarabangsa, sekali gus kehilangan pengaruh. - ©BERNAMA