WASHINGTON, 4 Feb. - Amerika Syarikat (AS) sedang berunding dengan Republik Islam Iran “pada masa ini", kata Presiden AS Donald Trump pada Selasa.
“Mereka sedang berunding," kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih, tanpa mengulas lanjut, lapor Anadolu Ajansi.
Kenyataan beliau dibuat selepas sebuah jet pejuang AS menembak jatuh dron Republik Islam Iran di Laut Arab pada Selasa selepas ia menghampiri kapal induk pesawat udara USS Abraham Lincoln.
“Mereka pernah mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu sebelum ini, namun ia tidak berjaya dan kami melaksanakan “Operasi Midnight Hammer". Saya tidak fikir mereka mahu perkara itu berulang, tetapi mereka mahu berunding.
“Kami sedang berunding dengan mereka ketika ini," katanya.
Kementerian Luar Republik Islam Iran pada Selasa memaklumkan bahawa persiapan sedang dijalankan untuk mengadakan rundingan dengan AS dalam beberapa hari akan datang, dengan perbincangan diteruskan bagi memuktamadkan lokasi pertemuan.
Sebelum itu, jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata utusan khas AS Steve Witkoff dijadual mengadakan perbincangan dengan pihak Republik Islam Iran lewat minggu ini.
Menurut beberapa laporan, Witkoff dijadual bertemu Menteri Luar Republik Islam Iran Abbas Araghchi di Istanbul pada Jumaat bagi rundingan mengenai program nuklear Republik Islam Iran.
Bagaimanapun, portal berita Axios melaporkan pada Selasa bahawa Republik Islam Iran menuntut perubahan lokasi dan menyatakan bahawa Tehran mahu mengubah format rundingan.
Laporan turut mencadangkan wakil dari Republik Turkiye, Republik Arab Mesir dan Qatar dijangka menyertai rundingan itu, namun Axios menyatakan Republik Islam Iran kini mendesak agar rundingan diadakan secara langsung.
Laporan itu juga menyatakan Tehran mahu memindahkan lokasi rundingan dari Istanbul ke Oman. - ©BERNAMA