Republik Indonesia tamatkan operasi SAR selepas 15 hari cari mangsa warga Sepanyol

10/01/2026

JAKARTA, 10 Jan. - Pihak berkuasa Republik Indonesia secara rasmi menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir yang hilang selepas sebuah bot pelancong membawa beberapa warga Sepanyol terbalik di Labuan Bajo, Jawa Timur, akhir bulan lepas.


Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi SAR itu dihentikan pada Khamis selepas 15 hari operasi intensif dijalankan bagi mengesan empat mangsa yang hilang dalam insiden itu.


Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Maumere merangkap penyelaras misi SAR, Fathur Rahman berkata tiga mayat telah ditemukan, manakala seorang warga Sepanyol masih belum dijumpai dan diisytiharkan hilang.


Pada 26 Disember, sebuah bot pelancong yang membawa Jurulatih Kelab Valencia CF Femenino dari Sepanyol, Fernando Martin bersama isteri dan empat anak mereka serta beberapa kru tempatan, telah terbalik.


Seramai tujuh orang termasuk isteri dan seorang anak perempuan Martin berjaya diselamatkan.


Sepanjang 15 hari operasi dijalankan, pasukan penyelamat menemukan mayat anak perempuan jurulatih itu yang berusia 12 tahun pada 29 Disember, manakala mayat Martin ditemukan pada 4 Januari dan mayat seorang daripada anak lelakinya dijumpai dua hari kemudian.


Mangsa terakhir dikenal pasti sebagai Martines Ortuno Enriquejavier, yang juga seorang lagi anak lelaki Martin.


Fathur berkata sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu mengenai penemuan mangsa pada masa hadapan, operasi SAR berkenaan boleh dibuka semula. - ©BERNAMA


Attachments