Gunung berapi Kilauea di Hawaii letuskan pancutan lava, tertinggi capai 370 meter – USGS

07/12/2025

MOSCOW, 7 Dis. - Gunung berapi Kilauea di Hawaii, dalam episod ke-38 letusannya, melepaskan pancutan lava setinggi kira-kira 370 meter (m) dan, buat pertama kali dalam fasa letusan semasa, mengeluarkan tiga pancutan lava yang hampir sama saiz, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada Ahad, lapor Sputnik/RIA Novosti.


"Ketiga-tiga lohong kini memancutkan lava. Pancutan dari lohong selatan mencapai hampir 1,200 kaki (370m) tinggi, manakala lohong utara menunjukkan penurunan ketara daripada maksimum awal 500 kaki (150m). Sebelum lohong selatan menjadi dominan, terdapat tiga pancutan lava bersaiz hampir sama, sekitar 500 kaki (150m), dua dari lohong utara dan satu dari lohong selatan. 


Paparan tiga pancutan ini merupakan kejadian yang sangat jarang berlaku, dan ini adalah kali pertama ia diperhatikan dalam letusan semasa," menurut USGS.


Kilauea merupakan satu daripada gunung berapi paling aktif di dunia. Ia terletak di pantai tenggara Pulau Hawaii. - ©BERNAMA


Attachments