EU pantau penyeludup dadah dari angkasa menerusi satelit, dron di bawah strategi baharu

05/12/2025

BRUSSELS, 5 Dis. - Suruhanjaya Eropah melancarkan pada Khamis Pelan Tindakan dan Strategi Dadah baharu Kesatuan Eropah (EU) yang bertujuan memerangi rangkaian penyeludupan dadah yang berkembang pesat.


Brussels bakal menggunakan satelit terkini, dron dan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini untuk memantau penyeludup dari udara dan luar sempadan EU, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Pesuruhjaya EU bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Migrasi Magnus Brunner berkata Eropah kini “menghampiri tahap krisis" apabila rampasan kokain meningkat enam kali ganda dan rampasan syabu lebih tiga kali ganda antara 2013 dan 2023.


Beliau berkata kira-kira 7,500 rakyat Eropah meninggal dunia setiap tahun akibat punca berkaitan dadah.


“Itulah sebabnya hari ini kami mengambil tindakan segera… kami menghantar mesej yang sangat jelas kepada ketua kartel dadah dan organisasi mereka: Eropah sedang melawan balik," kata Brunner kepada wartawan di Brussels.


Di bawah pelan baharu itu, Frontex, Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah, akan dilengkapkan dengan “sumber berteknologi tinggi," termasuk aset udara, imejan satelit beresolusi tinggi dan dron, membolehkan pihak berkuasa EU menjejak penghantaran dadah, memantau laluan penyeludupan yang berubah serta mengesan aktiviti mencurigakan jauh sebelum penyeludup tiba di sempadan Eropah.


EU juga merancang memperkukuh pemantauan maritim, memperluaskan Pakatan Pelabuhan Eropah dan mengukuhkan kerjasama dengan pelabuhan di Amerika Latin bagi memintas penghantaran haram.


Strategi itu turut merangkumi penggunaan lebih meluas alat pengesanan berasaskan AI, sistem X-ray canggih serta pemantauan dipertingkat terhadap perkhidmatan pos dan penghantaran bungkusan yang semakin kerap digunakan untuk menyembunyikan dadah sintetik.


“Penyeludup dadah menggunakan teknologi terkini, dan sebab itu kami juga perlu memberi tumpuan kepada inovasi untuk benar-benar menewaskan mereka," katanya. - ©BERNAMA


Attachments