ADB salur bantuan kecemasan kepada 3 negara di Asia terjejas banjir

05/12/2025

HANOI, 5 Dis. - Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) Masato Kanda mengumumkan pada Khamis bahawa ADB akan menyediakan bantuan geran segera kepada Sri Lanka, Thailand dan Vietnam susulan permintaan bantuan daripada kerajaan negara-negara berkenaan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).


Menurut kenyataan bank itu, sehingga US$3 juta akan disalurkan kepada Sri Lanka, US$2 juta kepada Thailand dan US$2 juta kepada Vietnam.


Geran itu  akan menyokong usaha kecemasan dan kemanusiaan, dan disalurkan melalui Tabung Tindak Balas Bencana Asia Pasifik (APDRF) yang menyediakan geran segera kepada negara anggota membangun bagi tujuan menyelamatkan nyawa sejurus selepas bencana besar akibat bahaya alam.


Kanda berkata: “Kerajaan dan rakyat Sri Lanka, Thailand dan Vietnam boleh yakin bahawa ADB akan menyediakan bantuan untuk menyelamatkan nyawa dan membina semula komuniti. Kami akan bekerjasama dengan pantas dan erat dengan kerajaan bagi membawa perlindungan, keselesaan dan harapan kepada mereka yang terjejas akibat kejadian buruk ini."


Banjir mengakibatkan kehilangan nyawa serta kerosakan besar kepada harta benda dan infrastruktur di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara.


Sekurang-kurangnya 355 orang disahkan maut di Sri Lanka, manakala 366 lagi masih hilang. Di Thailand, hujan lebat mencetuskan banjir buruk yang meragut sekurang-kurangnya 176 nyawa di wilayah selatan negara itu. Beberapa daerah di tengah Thailand pula telah berada di bawah air lebih daripada empat bulan.


Di Vietnam, wilayah tengah yang sudah pun dilanda dua ribut berturut-turut pada Oktober kini sekali lagi terjejas akibat banjir terbaharu.


Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Daik Vietnam, kira-kira 280 orang di seluruh negara telah terkorban akibat bencana alam dari awal tahun hingga akhir Oktober, dengan kerugian ekonomi dianggarkan mencecah US$1.4 bilion. - ©BERNAMA


Attachments