WASHINGTON/KIGALI, 5 Dis. - Republik Demokratik Kongo dan Rwanda pada Khamis menandatangani perjanjian damai dan ekonomi “bersejarah" yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan pertempuran di timur Kongo, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Hari ini, kami komited untuk menghentikan puluhan tahun keganasan dan pertumpahan darah, serta memulakan era baharu keharmonian dan kerjasama antara Republik Demokratik Kongo dan Rwanda," kata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum majlis menandatangani perjanjian di Washington DC, yang turut disertai Presiden Kongo Felix Tshisekedi dan Presiden Rwanda Paul Kagame.
Ketika ditanya bila tentera akan berundur dari Kongo, Trump berkata: “Saya fikir anda akan melihatnya dengan sangat cepat".
Beliau menyifatkan Tshisekedi dan Kagame sebagai “pemimpin hebat".
“Saya fikir anda akan melihat keputusan segera. Saya yakin itulah yang akan berlaku," katanya.
Menegaskan bahawa AS sedang menyelesaikan perang yang berlarutan selama beberapa dekad, Trump berkata kedua-dua pemimpin negara itu meluangkan “banyak masa di belakang pentas" di Rumah Putih untuk berbincang.
Menggambarkan hari itu sebagai amat penting dan luar biasa bagi Afrika, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pemimpin atas kejayaan mencapai persetujuan.
“Selama lebih 30 tahun, satu daripada konflik paling buruk di dunia telah melanda timur Kongo," katanya sambil menyebut penderitaan orang awam yang “tidak terkira".
Trump juga berkata perjanjian itu membuka laluan kepada kerangka baharu untuk kemakmuran ekonomi, sambil menambah bahawa “terdapat kekayaan besar di bumi yang indah itu".
“Tetapi di rantau yang akan menyokong keamanan berkekalan, Republik Demokratik Kongo dan Rwanda bersetuju untuk mengintegrasikan ekonomi mereka dengan lebih rapat antara satu sama lain, bukannya berperang," katanya.
Keganasan berlarutan di timur Kongo selama beberapa dekad, mengorbankan ribuan nyawa dan memindahkan jutaan orang, menurut Kinshasa dan PBB.
Tshisekedi dan Kagame tiba di Amerika Syarikat pada Rabu untuk memuktamadkan perjanjian damai itu yang bertujuan meneruskan pelaksanaan persetujuan yang diusahakan AS pada Jun lepas.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika Mahmoud Ali Youssouf mengalu-alukan perjanjian itu dan menyifatkannya sebagai pencapaian penting dalam usaha mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan berkekalan di rantau Great Lakes.
Youssouf, yang menyaksikan majlis menandatangani itu, mengiktiraf dan menghargai sokongan diberikan Amerika Syarikat, termasuk pembabitan peribadi Presiden Trump yang menurutnya membantu mewujudkan keadaan kondusif bagi perjanjian berkenaan.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa pengerusi berkenaan mengucapkan terima kasih kepada Qatar atas sokongan diplomatiknya serta kesediaan negara itu menyokong inisiatif keamanan yang diterajui Afrika.
Beliau menggesa semua pihak melaksanakan perjanjian itu dengan penuh setia dan keutuhan, memastikan detik ini menjadi asas kepada perdamaian, kerjasama serantau dan keamanan mampan.
“Suruhanjaya Kesatuan Afrika bersedia mengiringi pihak-pihak berkaitan dan mekanisme serantau dalam memajukan proses penting ini untuk manfaat rakyat Republik Demokratik Kongo, Rwanda dan seluruh rantau itu". - ©BERNAMA