Tentera AS serang bot didakwa bawa dadah di timur Lautan Pasifik, 4 maut

05/12/2025

WASHINGTON, 5 Dis. - Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Khamis melancarkan serangan ke atas sebuah bot yang didakwa membawa dadah di perairan antarabangsa di timur Lautan Pasifik, mengorbankan kesemua empat individu di dalamnya, menurut Pemerintah Selatan AS, lapor Xinhua.


Komando itu berkata di X bahawa serangan berkenaan dilaksanakan atas arahan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth sebagai sebahagian operasi memerangi penyeludupan dadah oleh Pasukan Petugas Bersama Southern Spear. Ia menambah bahawa risikan menilai bot tersebut dikendalikan oleh sebuah 'Pertubuhan Pengganas Ditetapkan'.


"Risikan mengesahkan bahawa bot itu membawa dadah terlarang dan melalui laluan penyeludupan dadah yang diketahui di timur Lautan Pasifik. Empat lelaki pengganas narkotik di atas bot itu terbunuh," menurut kenyataan itu, tanpa mendedahkan bukti atau mengenal pasti kumpulan terbabit.


Sehingga Khamis, Pentagon telah melaksanakan sekurang-kurangnya 22 serangan yang diketahui ke atas bot didakwa membawa dadah di Caribbean dan timur Lautan Pasifik sejak 2 September, mengorbankan lebih 87 individu di atas kapal.


Operasi itu turut menarik perhatian susulan insiden pada 2 September apabila dua mangsa terselamat daripada sebuah bot yang musnah turut terbunuh dalam serangan susulan.


Laksamana Tentera Laut AS Frank Bradley, Ketua Komando Operasi Khas AS, memberitahu penggubal undang-undang pada Khamis bahawa Hegseth tidak pernah mengeluarkan arahan untuk 'membunuh semua' di atas bot yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah, sambil menambah bahawa beliau menganggap dua mangsa terselamat yang terbunuh dalam serangan susulan 2 September itu sebagai sasaran ketenteraan yang sah menurut peraturan operasi terhadap pengganas narkotik.


Hegseth berkata pada Selasa bahawa beliau tidak menyedari serangan kedua yang menyasarkan mangsa terselamat di atas sebuah bot didakwa membawa dadah di Caribbean pada 2 September, dengan menyebut 'kekeliruan perang'.


Pengkritik, termasuk beberapa penggubal undang-undang Republikan, selama beberapa bulan mempersoalkan sama ada memerangi penyeludupan dadah merupakan satu-satunya motif AS dan membangkitkan kebimbangan mengenai kesahan operasi ketenteraan itu di Caribbean. - ©BERNAMA


Attachments