COLOMBO, 5 Dis. - Sri Lanka akan menyediakan bayaran ganti rugi sehingga 25 peratus daripada jumlah kerugian yang ditanggung oleh pemilik lebih 400 kilang yang rosak akibat Taufan Ditwah, lapor Xinhua.
Kementerian Pembangunan Industri dan Keusahawanan berkata pada Jumaat bahawa sebagai langkah bantuan segera, pemilik 416 kilang pembuatan dan eksport yang terjejas telah diarahkan untuk mengemukakan penilaian kerugian mereka selewat-lewatnya pada 16 Disember.
Menurut kementerian, jumlah kemudahan yang paling teruk terjejas adalah di daerah Gampaha, Colombo, Puttalam, Trincomalee, Kegalle, Kurunegala, Matara, Kandy dan Batticaloa.
Bagi menyokong usaha pemulihan semula, kerajaan memperuntukkan tiga bilion rupee (kira-kira USD10 juta) dalam bentuk subsidi tanpa bayaran balik untuk industri terjejas. - ©BERNAMA