ISTANBUL, 1 Dis. - Markas Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Ahad mengumumkan bahawa anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan Kementerian Dalam Negeri Syria berjaya memusnahkan lebih 15 lokasi yang menempatkan tempat simpanan senjata ISIS (Daesh) di selatan Syria, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Operasi selama empat hari dari 24 hingga 27 November itu menyaksikan kerjasama antara pasukan AS dan Angkatan Tentera Syria di wilayah Rif Damashq.
Menurut CENTCOM, pasukan terlibat menggunakan beberapa siri serangan udara dan letupan darat bagi mengesan serta memusnahkan tempat simpanan senjata ISIS itu.
Usaha bersama itu membawa kepada pemusnahan lebih 130 mortar dan roket, selain beberapa laras raifal, mesingan, periuk api anti-kereta kebal serta bahan untuk membina peranti bahan letupan buatan sendiri (IED).
Pasukan itu turut melaporkan penemuan dan pemusnahan dadah terlarang.
Komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper berkata operasi itu 'memastikan kejayaan yang dicapai menentang ISIS berkekalan dan menghalang kumpulan itu membina semula kekuatan atau melancarkan serangan pengganas terhadap AS dan di seluruh dunia'.
"Kami akan terus berwaspada dan terus memburu saki-baki ISIS di Syria secara agresif," katanya. - ©BERNAMA