ANKARA, 1 Dis. - Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Republik Indonesia mengeluarkan ramalan potensi hujan pada Isnin di sebahagian besar wilayah negara itu ketika angka korban akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera terus meningkat.
Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Kompas TV melaporkan bahawa ramalan itu dikeluarkan selepas BMKG merekodkan peningkatan hujan di beberapa kawasan dan menyatakan beberapa bandar berisiko mengalami cuaca ekstrem.
Pada Ahad, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata jumlah korban akibat banjir dan tanah runtuh yang berterusan di Sumatera meningkat kepada 442 orang, dengan 402 yang lain masih hilang.
Agensi itu berkata pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha mereka masuk hari keenam di kawasan terjejas untuk mengesan mangsa yang masih hilang.
Data turut menunjukkan 646 orang cedera, manakala 1.1 juta lagi terjejas, ratusan rumah rosak dan lebih 290,000 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir berkenaan.
Banyak kawasan terjejas masih belum dapat diakses, dan pasukan mencari menjalankan operasi di darat serta melalui udara, namun keadaan muka bumi yang mencabar mengehadkan penggunaan jentera berat. - ©BERNAMA