Todak Academy perluas inovasi TVET menerusi kerjasama dengan BINUS University Bandung

01/12/2025

KUALA LUMPUR, 1 Dis. - Todak Academy Sdn Bhd memperluas jejak serantaunya dalam bidang digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BINUS University Bandung dari Indonesia.


MoU itu ditandatangani pada satu majlis di kampus BINUS @Bandung, disaksikan oleh pasukan Education Malaysia Indonesia (EMI) yang diketuai pengarahnya, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri, serta wakil Todak Nusantara, iaitu platform strategik akademi berkenaan di Indonesia.


Dalam satu kenyataan, Todak Academy berkata kerjasama itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usahanya membangunkan bakat digital masa depan di rantau ASEAN.


Di bawah perjanjian berkenaan, Todak Academy akan memperkenalkan modul pendidikan digital dan e-sukan di BINUS University Bandung, manakala kedua-dua pihak akan meneroka bidang baharu dalam teknologi kreatif dan aplikasi industri.


Akademi itu menyifatkan MoU itu sebagai langkah penting ke arah menyelaraskan inisiatif pendidikan digital antara Malaysia dan Indonesia, dengan kerjasama itu dijangka menyumbang kepada pembangunan bakat yang lebih meluas serta memacu inovasi digital di rantau ASEAN. - ©BERNAMA


Attachments