HOKKAIDO, 1 Dis. - Sebuah kilang yang dikendalikan oleh Nippon Steel Corp di Hokkaido, utara Jepun terbakar dalam kejadian pada awal pagi Isnin dengan tiada kecederaan dilaporkan, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut polis, jabatan bomba dan Nippon Steel, kebakaran itu berlaku di sebuah 'relau udara panas' yang menyalurkan udara panas ke relau bagas bagi proses pengekstrakan besi. Mereka berkata api tidak merebak ke kawasan luar kilang berkenaan, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca kejadian.
Panggilan kecemasan dibuat kira-kira 12.55 pagi oleh seorang jiran yang mendengar bunyi letupan di kilang di Muroran itu, menurut jabatan bomba.
Kilang keluli seluas 4.33 juta meter persegi itu sedang beroperasi ketika kebakaran berlaku, menurut Nippon Steel. Syarikat itu berkata ia sedang menilai kesan kebakaran terhadap operasi mereka. - ©BERNAMA