Pegawai AS, Ukraine sifatkan rundingan damai di Florida produktif, berjaya

01/12/2025

ISTANBUL, 1 Dis. - Pegawai kanan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine mengadakan rundingan pada Ahad, menyifatkan sesi itu sebagai “produktif" dan “berjaya" ketika perbincangan mengenai pelan damai untuk menamatkan konflik Rusia-Ukraine diteruskan, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Setiausaha Negara Marco Rubio bersama utusan khas AS Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner, bertemu delegasi Ukraine yang diketuai oleh Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara Rustem Umerov.


Bercakap selepas mesyuarat di negeri Florida, Rubio berkata matlamat utama bukan sahaja menamatkan konflik di Ukraine tetapi untuk melihat rakyat Ukraine "membangunkannya semula dengan cara yang akan menjadi lebih kuat dan lebih makmur berbanding sebelum ini".


Beliau mengakui proses itu masih “sensitif" dan “rumit" serta memerlukan penglibatan Persekutuan Rusia sebagai “sebahagian daripada persamaan".


Rubio mengesahkan usaha diplomatik akan diteruskan minggu ini apabila Witkoff berlepas ke Moscow, sambil menambah bahawa AS mempunyai “pemahaman yang agak baik mengenai pandangan (Rusia)".


“Kami kekal realistik mengenai betapa sukarnya proses ini, namun tetap optimis," katanya.


Umerov menegaskan objektif mereka ialah “Ukraine yang makmur dan kuat", sambil menyatakan pihak AS “amat menyokong".


“Kami telah pun mengadakan mesyuarat yang berjaya di Geneva, dan hari ini kami meneruskan kejayaan itu," katanya.


Beliau kemudian berkata di Telegram bahawa pihak terlibat mencapai “kemajuan ketara ke arah keamanan yang adil" selepas “pusingan rundingan yang sukar tetapi produktif".


Umerov berkata selepas mesyuarat itu, beliau telah memaklumkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengenai hasil rundingan berkenaan.


Beliau berkata objektif utama Kyiv, termasuk “keselamatan, kedaulatan dan keamanan yang boleh dipercayai", kekal tidak berubah dan “dikongsi bersama oleh pihak Amerika".


Perundingan dan usaha menyelaras penyelesaian rangka kerja bersama akan diteruskan dengan pihak Amerika.


Pasukan Ukraine diketuai Umerov selaku ketua delegasi, Ketua Staf Am Andrii Hnatov dan Ketua Perkhidmatan Perisikan Luar Ukraine, Oleg Ivashchenko.


Delegasi itu turut disertai Duta Ukraine ke AS, Olga Stefanishyna; Timbalan Ketua Perisikan Pertahanan, Vadym Skibitskyi; dan Penasihat Kabinet Presiden Ukraine, Oleksandr Bevz.


Delegasi AS yang diketuai Kushner dan Witkoff, dijangka berlepas ke Persekutuan Rusia minggu ini bagi rundingan lanjut.


Pentadbiran AS mengesahkan sedang merangka pelan penyelesaian untuk Ukraine tetapi enggan memberikan butiran selagi proses masih berjalan.


Kremlin pula berkata Persekutuan Rusia kekal terbuka kepada rundingan dan komited kepada penyelesaian diplomatik. - ©BERNAMA


Attachments