LISBON, 1 Dis. - Enam maut selepas sebuah kereta terbabas dan terbakar pada awal pagi Ahad di Avenida das Forcas Armadas, kawasan utara-tengah Lisbon, menurut Polis Keselamatan Awam (PSP) Portugal, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa berkata mangsa terdiri daripada tiga wanita dan tiga lelaki, namun usia sebenar mereka belum disahkan. Dokumen pengenalan diri yang ditemukan di tempat kejadian menunjukkan sebahagian mangsa merupakan remaja.
Punca kemalangan masih belum jelas. Polis Kehakiman telah membuka kertas siasatan. Nahas berlaku hanya beberapa meter dari Kedutaan Amerika Syarikat, dan pihak berkuasa sedang berusaha menolak kemungkinan unsur jenayah. - ©BERNAMA