Iran tegaskan tidak akan berusaha bangunkan senjata nuklear - jurucakap kerajaan

05/11/2025

​TEHRAN, 4 Nov. - Iran tidak akan pernah berusaha membangunkan senjata nuklear berasaskan prinsip budaya, agama dan etika, kata jurucakap kerajaan Fatemeh Mohajerani.​

Agensi Berita IRNA melaporkan bahawa dalam sidang media mingguannya pada Selasa, Mohajerani merujuk kepada kenyataan terbaharu Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi mengenai aktiviti nuklear Iran.


“Beliau (Grossi) menegaskan bahawa Iran tidak pernah dan tidak mempunyai program nuklear bersifat ketenteraan," katanya. Mohajerani berkata terdapat tiga sebab utama mengapa Iran tidak akan berusaha membangunkan   bom nuklear.


“Pertama, asas budaya dan sejarah kami tidak sehaluan dengan tindakan sedemikian. Kedua, kepercayaan agama kami berlandaskan fatwa yang jelas menyatakan bahawa penghasilan dan penggunaan senjata nuklear adalah haram. Ketiga, asas etika bangsa Iran berpaksikan prinsip kemanusiaan dan moral," katanya.


Beliau berkata kerjasama Iran dengan IAEA dijalankan di bawah panduan Majlis Tertinggi Keselamatan Negara (SNSC) bagi memastikan semua tindakan selaras dengan kepentingan negara. Mohajerani menegaskan bahawa terdapat kesepakatan dan penyelarasan penuh antara kerajaan dan Parlimen dalam hal berkenaan. - ©BERNAMA

Attachments