BEIJING, 21 Okt. - Kereta api peluru terpantas di dunia, CR450, telah memulakan siri ujian pra-perkhidmatan di atas landasan laju di China, mencatat kelajuan tinggi sehingga 453 kilometer sejam.
Siri CR450, yang direka untuk kelajuan ujian maksimum 450 km/j dan kelajuan operasi komersial 400 km/j, kini sedang menjalani ujian kelayakan di landasan laju yang menghubungkan bandar timur Shanghai dengan bandar pedalaman barat Chengdu, lapor Science and Technology Daily pada Isnin.
Kereta api berkelajuan tinggi ini mampu memecut dari keadaan pegun ke 350 km/j dalam hanya 4 minit 40 saat, dan dua tren telah mencatat rekod apabila berselisih pada kelajuan gabungan 896 km/j.
Berbanding pendahulunya CR400, model CR450 ini menampilkan hidung yang lebih panjang dan tirus, garisan bumbung 20 sentimeter lebih rendah serta pengurangan berat sebanyak 50 tan sekali gus mengurangkan rintangan aerodinamik sebanyak 22 peratus.
Kereta api laju CR400 Fuxing yang kini beroperasi dalam perkhidmatan membawa penumpang pada kelajuan 350 km/j. CR450 pula perlu mencatat 600,000 kilometer perjalanan tanpa gangguan sebelum diberi kelulusan untuk membawa penumpang. - ©XINHUA