Kabel tidak menepati spesifikasi dikaitkan dengan kemalangan funikular Lisbon – Laporan

21/10/2025

MADRID, 21 Okt. - Kabel yang terputus dalam kemalangan kereta api funikular di Lisbon bulan lalu didapati tidak menepati spesifikasi yang diperlukan, menurut laporan siasatan awal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Jenis kabel yang digunakan sejak 2022 itu tidak diperakui untuk pengangkutan penumpang dan tidak sesuai digunakan bagi sistem funikular, termasuk Laluan Glória yang terlibat dalam kemalangan berkenaan, menurut Pejabat Pencegahan dan Siasatan Kemalangan Udara dan Rel (GPIAAF) pada Isnin.


Dalam kejadian pada 3 Sept itu, seramai 16 orang terbunuh manakala 21 lagi cedera, termasuk beberapa lagi parah. Funikular itu beroperasi dengan dua gerabak yang dihubungkan melalui tali untuk bergerak turun dan naik di jalan curam bandar itu.


Pada hari kejadian, sebuah gerabak sedang menuruni jalan curam Calçada da Glória apabila ia tergelincir sebelum merempuh tiang besi dan bangunan berhampiran.


Laporan akhir mengenai punca sebenar kemalangan dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun. “Elevador da Glória" merupakan antara tarikan pelancong paling popular di Lisbon, namun turut digunakan penduduk tempatan setiap hari.


Dibina di Jerman pada abad ke-19, sistem funikular itu membawa kira-kira tiga juta penumpang setiap tahun. Tiada kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini membabitkan tiga laluan funikular di Lisbon. - ©BERNAMA



Attachments