EU, negara-negara Laut Hitam dan Asia Tengah sepakat perkukuh kerjasama keselamatan, keterhubungan

21/10/2025

BRUSSELS, 21 Okt. - Kesatuan Eropah (EU) bersama negara-negara di rantau Laut Hitam dan Asia Tengah pada Isnin bersetuju memperkukuh kerjasama rentas wilayah dalam bidang keselamatan dan keterhubungan semasa mesyuarat peringkat menteri di Luxembourg, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas, Pesuruhjaya Eropah bagi Pembesaran Marta Kos dan Pesuruhjaya Eropah bagi Perkongsian Antarabangsa Jozef Sikela, menghimpunkan wakil daripada negara anggota EU serta Armenia, Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Moldova, Tajikistan, Turkiye, Turkmenistan, Ukraine dan Uzbekistan.


Dalam kenyataan bersama, para pengerusi menegaskan komitmen bersama para peserta untuk memperkukuh kestabilan, daya tahan dan kerjasama antara kedua-dua rantau di tengah-tengah cabaran geopolitik yang semakin meningkat.


“Laut Hitam merupakan kawasan berkepentingan geostrategik utama, menghubungkan Eropah dengan Asia serta memainkan peranan penting dalam perdagangan antarabangsa, transit strategik bijirin, tenaga dan bahan mentah kritikal, selain menjadi komponen utama keselamatan global," menurut kenyataan itu.


Para peserta turut membincangkan usaha memperdalam kerjasama dalam keselamatan maritim, termasuk cadangan menubuhkan Hab Keselamatan Maritim Laut Hitam dan inisiatif untuk memperkukuh kerjasama pengawal pantai, menyokong usaha pembersihan periuk api serta melindungi infrastruktur kritikal.


Menurut EU, langkah-langkah terbabit akan menyumbang kepada keselamatan Ukraine serta meningkatkan keupayaan rantau berkenaan menghadapi ancaman hibrid.


“Inisiatif ini bertujuan menyelaras pelaburan strategik bagi menggalakkan perdagangan dan pembangunan sosioekonomi melalui rangkaian pengangkutan, tenaga dan digital yang berdaya tahan serta cekap, menghubungkan Asia Tengah dengan Kaukasus Selatan dan seterusnya ke Kesatuan Eropah," menurut kenyataan itu.


Pegawai-pegawai juga menegaskan kepentingan memudahkan perdagangan serantau, termasuk pendigitalan prosedur kastam bagi melancarkan perdagangan rentas sempadan dan menarik pelaburan swasta.


Brussels turut mengumumkan rancangan untuk membangunkan kerangka penyelarasan bagi pelaksanaan Agenda Kesalinghubungan yang akan dibincangkan lebih lanjut pada "Trans-Caspian Transport Corridor Investors and Connectivity Forum" di Tashkent pada 27 Nov.


EU mengulangi kesediaannya untuk menyokong negara yang mengambil bahagian dan rakan antarabangsa dalam memajukan matlamat itu melalui perancangan pelaburan bersama dan penyelarasan dasar. - ©BERNAMA



Attachments