BUENOS AIRES, 22 Okt. - Mahkamah Bogotá pada Selasa membatalkan sabitan terhadap bekas Presiden Colombia, Álvaro Uribe atas pertuduhan mempengaruhi saksi dan penipuan prosiding kehakiman, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya masih boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung negara itu.
Dalam perbicaraan awal pada Ogos lalu, Uribe dijatuhi hukuman 12 tahun di bawah tahanan rumah.
Kes itu bermula lebih sedekad lalu apabila Uribe sendiri memfailkan tindakan undang-undang terhadap senator berhaluan kiri, Iván Cepeda, yang menyiasat dakwaan kaitannya dengan kumpulan separa tentera.
Namun pada 2018, situasi berubah apabila Uribe dituduh menekan bekas tahanan separa tentera supaya memberi keterangan yang boleh membebaskannya.
Proses kehakiman kes itu berulang kali tertangguh dan pertuduhan rasmi hanya dikemukakan terhadapnya pada 2024.
Mahkamah Bogotá kini memutuskan bahawa bukti yang dikemukakan tidak mencukupi untuk mensabitkan kesalahan.
Uribe, merupakan tokoh konservatif yang memimpin Colombia dari 2002 hingga 2010.
Penyokongnya menganggap beliau sebagai pembela keselamatan negara ketika konflik sengit dengan kumpulan gerila berhaluan kiri, sementara pengkritik menuduhnya terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia serta mempunyai hubungan rapat dengan pasukan separa tentera.
Konflik dalaman yang berlarutan selama beberapa dekad antara pasukan kerajaan, kumpulan separa tentera dan gerila di Colombia telah mengorbankan kira-kira 220,000 nyawa serta menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal. - ©BERNAMA