RIO DE JANEIRO, 22 Okt. - Kerajaan baharu Peru pada Selasa mengisytiharkan darurat di ibu negara Lima dan wilayah sekitarnya susulan pertempuran ganas yang mencederakan puluhan anggota polis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden baharu Peru José Jerí dalam perutusan khas berkata perintah darurat itu akan berkuat kuasa selama 30 hari bermula tengah malam (0500 GMT Rabu).
Jerí berkata kadar jenayah di negara itu meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan penderitaan kepada ribuan keluarga.
“Cukup sampai di sini. Hari ini kita mula mengubah sejarah dalam perjuangan menentang ketidaktenteraman di Peru.
“Kita beralih daripada bertahan kepada menyerang dalam membanteras jenayah.
“Perang hanya boleh dimenangi dengan tindakan, bukan kata-kata," katanya.
Perdana Menteri Ernesto Álvarez minggu lalu memaklumkan bahawa kerajaan sedang merangka langkah darurat itu berikutan peningkatan kadar jenayah di ibu negara.
Protes di Lima turut mencetuskan kekecohan, dengan media tempatan melaporkan seorang penunjuk perasaan terbunuh, manakala ramai anggota polis cedera. - ©BERNAMA