Menteri EU desak Amerika Syarikat kaji semula larangan visa terhadap pegawai Palestin

31/08/2025

OSLO, 31 Ogos. - Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) yang bermesyuarat di Copenhagen pada Sabtu sebulat suara menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya mengkaji semula keputusan terbaharu menolak permohonan visa pegawai Palestin, lapor Xinhua.


Jabatan Negara AS pada Jumaat dalam satu kenyataan berkata pihaknya “menolak dan membatalkan visa anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan datang."


Mesyuarat itu turut membincangkan keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, namun para peserta berbeza pendapat mengenai sama ada wajar mengenakan sekatan tambahan terhadap Israel.


Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas pada sidang akhbar berkata walaupun negara anggota secara umumnya sependapat mengenai seriusnya keadaan semasa, masih tiada kata sepakat mengenai langkah konkrit yang perlu diambil.


Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata semakin banyak negara anggota berpendapat Israel tidak mungkin mengubah pendiriannya tanpa tekanan yang lebih tegas.


Di luar lokasi mesyuarat, sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun, mendesak Denmark dan EU mengambil tindakan lebih tegas berhubung krisis kemanusiaan di Gaza. - ©BERNAMA

 


Attachments