Singapura: kanak-kanak 11 tahun yang dilaporkan hilang, ditemukan lemas

31/08/2025

SINGAPURA, 31 Ogos. - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang pada Jumaat (29 Ogos) di Singapura ditemukan lemas, menurut polis negara itu.


Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan berkata mayat Muhammad Hairil Muhammad Effendi ditemukan terapung di laut berhampiran East Coast Park selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.55 malam Sabtu.


"Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang kanak-kanak lelaki terapung di laut berdekatan East Coast Park sebelum dibawa naik ke darat oleh anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF)," kata SPF.


Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh seorang paramedik.


Identiti mangsa kemudiannya disahkan oleh ahli keluarganya.


Polis berkata siasatan awal tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.


"Bagi menghormati keluarga mangsa, orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi sebarang video atau imej berkaitan si mati," menurut kenyataan itu.


Pada Sabtu, polis mengeluarkan hebahan awam berhubung kehilangan kanak-kanak itu, yang kali terakhir dilihat di kawasan Blok 29 Marine Crescent sekitar 11.05 pagi, 29 Ogos.


Menurut laporan The Strait Times, ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Ain berkata Muhammad Hairil merupakan kanak-kanak berkeperluan khas.


Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang jiran menunjukkan kanak-kanak itu meninggalkan rumah mereka di Marine Terrace. - ©BERNAMA


Attachments