TRIPOLI, 31 Ogos. - Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Libya (UNSMIL) pada Sabtu menyuarakan kebimbangan terhadap penempatan berterusan tentera dan senjata di sekitar ibu negara Tripoli, sambil memberi amaran bahawa perkembangan berbahaya itu boleh mendatangkan "kemudaratan besar" kepada orang awam, lapor Xinhua.
UNSMIL dalam satu kenyataan berkata rundingan mengenai pengaturan keselamatan di Tripoli sejak Jun lalu menunjukkan kemajuan, justeru menggesa semua pihak meneruskan dialog bagi menyelesaikan isu terbabit dengan segera serta berhemah bagi mengelak ketegangan atau ancaman terhadap keselamatan awam.
Badan dunia itu turut menegaskan bahawa peningkatan kehadiran tentera terbaharu "menimbulkan ketakutan meluas dalam kalangan penduduk Tripoli" dan sebarang penggunaan kekerasan berisiko mencetuskan pertempuran sengit di bandar yang padat penduduk.
UNSMIL berikrar akan terus menyokong usaha pengantaraan bagi mengekalkan gencatan senjata di Libya yang diumumkan pada Mei lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika ketegangan keselamatan di sekitar Tripoli semakin meningkat sejak malam Rabu, apabila pertempuran kecil dilaporkan berlaku di beberapa kawasan ibu negara.
Menurut laporan portal berita "The Libya Update" pada Sabtu, pihak berkuasa Libya memaklumkan kebanyakan penempatan tentera berkenaan adalah "aktiviti ketenteraan biasa." - ©BERNAMA