Raducanu catat kemenangan pertama di Terbuka AS sejak kejuaraan 2021

25/08/2025

NEW YORK, 25 Ogos. - Emma Raducanu meraih kemenangan pertamanya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) sejak menjuarai kejohanan itu empat tahun lalu dengan penuh bergaya di New York, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Pemain nombor satu Britain itu membuka tirai kejohanan di Stadium Louis Armstrong, dengan menundukkan pemain kelayakan Jepun Ena Shibahara 6-1, 6-2 dalam masa 62 minit. “Sudah tentu saya sangat gembira dengan perlawanan itu. Ini kemenangan pertama saya di sini sejak 2021. Saya amat gembira dengan cara saya menanganinya," katanya.


Walaupun Flushing Meadows menjadi lokasi kejayaan terhebat Raducanu, ia sebelum ini tidak banyak meninggalkan kenangan manis.


Tiga tahun lalu, beliau kelihatan resah dan kecewa ketika tewas pada pusingan pertama kepada Alize Cornet di gelanggang yang sama selaku juara bertahan, sebelum terpaksa menarik diri daripada edisi 2023 ekoran pembedahan pergelangan tangan dan buku lali.


Tahun lalu pula, beliau hadir dengan persediaan tidak mencukupi akibat kecederaan kecil yang dirahsiakan, dan gagal lagi di pusingan pertama apabila tewas kepada pemain Amerika Sofia Kenin.


Pemain berusia 22 tahun itu kini dibimbing jurulatih baharu dari Sepanyol, Francisco Roig, yang pernah bekerjasama dengan Rafael Nadal selama dua dekad. Beliau sebelum ini menyifatkan Roig sebagai sumber ketenangan. - ©BERNAMA


Attachments